Hakim perlu 'berhati kering' untuk naik podium di Jerez

Hakim perlu ‘berhati kering’ untuk naik podium di Jerez

HAKIM Danish (tengah) mendengar taklimat sewaktu meninjau keadaan trek di Litar Jerez menjelang aksi pembuka musim Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Jerez, Sepanyol, semalam. - Gambar ihsan ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi memburu keputusan podium mahu diulangi pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli dalam perlumbaan pembuka musim Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Jerez, hujung minggu ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu beraksi cemerlang apabila melengkapkan saingan di kedudukan ketiga dalam perlumbaan 2 pada pusingan pertama, musim lalu, di Portimao, Portugal.

Justeru, anak jati Kuala Terengganu itu amat berharap dapat mengulangi pencapaian tersebut di Jerez, walaupun, menyedari dia bakal menerima cabaran sengit daripada pelumba-pelumba lain.

“Harapan saya untuk pusingan di Jerez ini ialah bersaing dengan pelumba di kelompok hadapan dan cuba untuk raih keputusan podium.

“Saya tahu kejuaraan sangat kompetitif, ramai pelumba yang laju, tetapi, saya akan cuba sehabis baik saya untuk tamatkan perlumbaan dengan keputusan podium,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ZK Racing, semalam.

Hakim Danish yang muncul selaku pelumba pertama Malaysia menjuarai Asia Talent Cup (ATC), beraksi kali pertama dalam Red Bull MotoGP Rookies, musim lalu, melengkapkan aksinya di kedudukan ke-12 setelah mengumpul 70 mata.

Anak muda itu yang turut melakukan penampilan sulung pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP yang membuka tirai saingan, minggu lepas di Misano, Itali melengkapkan aksinya di tempat ke-12 keseluruhan selepas mengumpul lapan mata daripada dua perlumbaan.

Pada penampilan pertamanya beraksi semusim penuh dalam perlumbaan di Eropah, tahun lalu, telah banyak membuka mata Hakim Danish bahawa saingan yang diterimanya tidak mudah.
Tidak seperti ATC, cabaran yang diterimanya di pentas Eropah jauh lebih getir dengan kehadiran begitu ramai pelumba berbakat yang memiliki ‘hati kering’ untuk menaiki podium.

Dalam perlumbaan JuniorGP, minggu lalu, sekali lagi Hakim Danish berdepan cabaran serupa dan dia sedar untuk meraih kedudukan yang baik dalam kesemua tujuh pusingan Red Bull MotoGP Rookies, sikap ‘hati kering’ itu perlu berada dalam dirinya untuk menjadi pencabar kompetitif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×