Tiga kluster pembangunan masyarakat India - Utusan Malaysia

Tiga kluster pembangunan masyarakat India

HALIMAH Mohamed Sadique meneliti buku Pelan Memperkasakan Kempimpinan KRT Johor sempena Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Peringkat Johor di Dewan Jubli Intan, Muar, Johor. -UTUSAN/ NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kerajaan akan memperkasa semula fungsi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) sebagai usaha mengukuhkan kedudukan sosio ekonomi kaum berkenaan seperti yang termaktub dalam dasar itu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pemerkasaan MIB akan terbahagi di bawah tiga kluster iaitu modal insan, keusahawaan dan kesejahteraan sosial masyarakat India.

Katanya, peranan MIB yang menyeluruh berupaya memastikan kaum berkenaan khususnya golongan B40 mendapat manfaat sewajarnya.

“MIB telah dilancarkan sejak 2017, namun skop itu terlalu luas dan tiada fokus kepada kluster yang sepatutnya. Justeru, kita nak bangunkan semula yang mana bersesuaian dengan peranan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) iaitu sebuah unit di bawah kementerian.

“Ia pastinya mudah untuk dilaksanakan oleh pihak Mitra memandangkan mereka telah diberikan peruntukan bernilai RM100 juta setiap tahun oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Peringkat Johor di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal negeri, Dr. Chong Fat Full dan Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin.

Terdahulu, Halimah dalam ucapannya menyeru ahli KRT agar lebih memahami Dasar Perpaduan Negara supaya dapat mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional termasuk lebih kreatif merancang dan melaksanakan aktiviti berimpak tinggi untuk komuniti di kawasan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata hingga 10 April lepas, sebanyak 104,142 ahli jawatankuasa rukun tetangga di seluruh negara telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Pada majlis berkenaan, Halimah menyerahkan replika cek bernilai RM4.056 juta kepada Fat Full untuk diserahkan kepada 826 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri bagi melaksanakan program dan aktiviti sekali gus menggerakkan agenda perpaduan nasional dalam sesebuah komuniti itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya