Tiada parti diramal menang majoriti mudah PRU-15 - Utusan Malaysia

Tiada parti diramal menang majoriti mudah PRU-15

DR. AWANG AZMAN AWANG PAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada parti politik diramal boleh menang dan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, situasi itu bukan sahaja kepada parti besar se­perti UMNO, PKR dan DAP malah juga melibatkan parti kecil seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Justeru, katanya adalah sukar untuk menjangkakan parti mana yang berpotensi membentuk kerajaan pada pilihan umum akan datang.

“Saya dapati masing-masing parti sukar menang majoriti besar terutamanya parti besar seperti UMNO, PKR dan DAP manakala selebihnya parti kecil sukar untuk mempertahankan kerusi dan sukar meningkatkan jumlah kerusi jika ada pertan­dingan tiga atau empat penjuru.

“Hal ini kerana kemenangan satu-satu pihak akan dipe­ngaruhi dan bergantung kepada sentimen semasa ketika itu se­perti faktor calon, kempen, cara jentera bergerak, parti, isu dan sebagainya,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpeluang memenangi PRU-15 dengan 40 peratus kadar boleh menang jika pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu berdasarkan kajian Makmal Forensik Pilihan Raya oleh Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan BN dikatakan mampu merekodkan 13 peratus undi boleh menang manakala PH pula dengan 11 peratus.

Sebaliknya, Awang Azman berkata, sekiranya indikator itu dijadikan ukuran kekuatan PN, maka pilihan raya umum perlu diadakan segera setelah mereka yakin dan mampu boleh menang selesa.

“PRU-15 boleh disegerakan asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Sementara itu, geostrategis, Azmi Hassan pula berpanda­ngan pertandingan tiga penjuru sama ada di kerusi majoriti Melayu atau bukan Melayu akan memberi keuntungan kepada PH.

AZMI HASSAN

Katanya, undi kawasan Me­layu akan berpecah kepada tiga parti manakala kawasan bukan Melayu sudah jelas memberi sokongan kepada PH dan ia berdasarkan beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

“Berdasarkan tinjauan pendapat seperti dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini (semalam), ia ukur berdasarkan persepsi dan keyakinan mereka terhadap sesuatu parti, bukannya berdasarkan data.

“Jika berdasarkan data, kita perlu melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menunjukkan PN sukar menang. Mengapa saya berkata begitu, Pas menang 18 kerusi manakala Bersatu pula 13 kerusi yang ketika itu bersama PH.

“Walaupun dalam keadaan pertandingan tiga penjuru, BN masih dalam keadaan baik kerana menang banyak kerusi manakala Bersatu hanya 13 kerusi sedangkan mereka berada dalam PH dengan sokongan oleh kekuatan PKR dan DAP,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN