Sungai Kim Kim: JAS perlu lakukan siasatan segera - Utusan Malaysia

Sungai Kim Kim: JAS perlu lakukan siasatan segera

HASSAN Abdul Karim (kanan) melihat jualan ikan semasa mengadakan lawatan ke Pasar KIP Mart Masai, di Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta melakukan siasatan segera berhubung laporan Sungai Kim Kim, di sini yang mengandungi kandungan bakteria Escherichia coli atau E. coli yang tinggi sehingga boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu serius kerana ia boleh menjejaskan kesihatan penduduk terutama yang tinggal atau berada berhampiran sungai terbabit.

“Walaupun belum ada laporan rasmi daripada JAS sama ada benar atau tidak, kandungannya beracun (E. coli tinggi), tetapi, saya mengambil berat terhadap perkara ini.

“Sebab ada sejarah pernah berlaku sebelum ini, jadi, saya minta JAS berterus-terang dalam hal ini sama ada Sungai Kim Kim beracun atau tidak.

“Kalau benar beracun ini berbahaya kerana boleh menjadi toksik beracun yang naik ke udara seperti yang terjadi dahulu,” katanya ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung keadaan Sungai Kim Kim yang dilaporkan sejak Isnin lalu.

Terdahulu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor melakukan lawatan ke Pasar Kip Mart Masai bagi meninjau harga barangan kawalan yang dikuat kuasakan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan harapan penduduk di sekitar Pasir Gudang yang mahu kerajaan dapat mengambil semua langkah yang sewajarnya bagi memastikan tahap kese­lamatan dan kesejahteraan me­reka yang menetap di bandar perindustrian itu untuk tempoh jangka panjang terjamin.

Rata-rata mereka mahukan jaminan itu daripada kerajaan kerana mereka bukan sahaja menetap di Pasir Gudang untuk bekerja semata-mata, malah membeli kediaman untuk terus bermastautin di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Hassan berkata, kerajaan diminta menubuhkan satu pasukan bagi memantau harga barangan khususnya yang dikawal dalam setiap kawasan Parlimen di negara ini untuk memastikan tidak berlaku manipulasi harga oleh penjual atau pembekal.

Ujar beliau, perkara itu penting kerana ketika ini agensi penguatkuasaan tidak dapat menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan sepenuhnya.

“Apabila tiba musim perayaan seperti ini, memang kerajaan ada menetapkan harga barangan, namun, jika kita teliti, tidak semua peniaga mengikut harga yang telah ditetapkan. Bagi kawasan seperti pasar awam, mungkin penguatkuasaan lebih mudah dibuat, tetapi tidak bagi kedai-kedai kecil seperti kedai runcit di kawasan perumahan, harganya lebih mahal.

“Sehubungan itu, kita mendesak kerajaan untuk menubuhkan satu unit pemantau di setiap Parlimen bagi memastikan harga barangan yang dijual sentiasa mematuhi ketetapan kerajaan,” katanya.

Tambah Hassan, pihaknya faham mengapa kenaikan harga boleh berlaku khususnya ketika musim perayaan, namun, kerajaan perlu memastikan ada pihak yang sentiasa memantau perkara ini.

“Setiap Parlimen perlu ada pegawai yang terlibat dalam pasukan itu dan setiap minggu dia akan maklumkan kepada kementerian. Unit pemantau ini juga tidak hanya berfungsi ketika musim perayaan sahaja tetapi sepanjang masa bagi memastikan hak pengguna terus terbela,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya