Skim Emas, hadiah istimewa untuk pendidik - Utusan Malaysia

Skim Emas, hadiah istimewa untuk pendidik

AMINUDIN Adam (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat (dua dari kanan) dan Naib Presiden Kanan Takaful Ikhlas Berhad, Mohd. Jafni Abd. Jalil (dua dari kiri) selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pelancaran Skim Emas kerjasama antara YGMB dengan Takaful Ikhlas Berhad di Hotel Le Meridian di sini, hari ini. Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas Teguh Resources, Mohd. Yusof Mohd. Lazim (kanan) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Mohammad Yong Salleh (kiri). -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Yayasan Guru Malaysia Bhd. (YGMB) menyediakan hadiah istimewa berupa Skim Emas buat warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Ke-50 yang membolehkan mereka menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat.

Bagi menjayakannya, YGMB dengan kerjasama rakan strategik Takaful Ikhlas Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelancaran skim baharu tersebut yang akan diperkenalkan secara rasmi pada majlis Sambutan Hari Guru Ke-50 pada penghujung Mei depan di Melaka.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, Skim Emas yang ditawarkan itu sebagai hadiah atas sokongan jitu kepada warga pendidik terhadap aktiviti dan program anjuran yayasan tersebut.

Menurutnya, malah skim baharu itu juga bertepatan dengan pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 yang dilancarkan baru-baru ini.

“Skim ini lain daripada yang lain kerana jangka hayat pelindungan sehingga individu tersebut berusia 80 tahun.

“Warga pendidik yang berusia sehingga 64 tahun boleh mendaftar di bawah skim ini. Jika sudah bersara pun masih boleh,” katanya pada Majlis MoU Pelancaran Skim Emas kerjasama antara YGMB dengan Takaful Ikhlas di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Bhd., Mohd. Jafni Abd Jalil yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Mohammad Yong Salleh.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, faktor utama Skim Emas diperkenalkan ialah bagi memastikan tiada seorang pun warga pendidik terlepas peluang menyertai YGMB.

Katanya, Skim YGMB sedia ada iaitu Skim 18 mempunyai had usia untuk 55 tahun ke bawah.

“Jadi, sebahagian besar 30 hingga 40 peratus guru-guru yang berusia 55 tahun ke atas terlepas peluang untuk menjadi ahli.

“Kita membuka peluang kepada semua peringkat untuk menjadi ahli, malah pengenalan skim ini juga bersesuaian dengan keadaan pandemik Covid-19 ketika ini terutama kepada warga pendidik yang berisiko,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tambah menggembirakan apabila Skim Emas itu tidak terhad kepada warga pendidik yang berkhidmat sahaja, malah, kepada mereka sudah bersara dengan jangka hayat perlindungan sehingga berusia 80 tahun serta nilai premium bulanan di bawah RM35.

Beliau menambah, lebih menarik skim tersebut tidak memerlukan mereka untuk melampirkan rekod atau pelaporan pemeriksaan kesihatan.

“Antara manfaat kebajikan kepada ahli Skim Emas ialah Khairat Kematian, Khairat Kematian Pasangan, Khairat Kematian Anak, Keilatan Kekal, Keilatan Kekal Separa, Elaun Hospital dan juga Penyakit Kritikal,” katanya

Sementara itu, Wan Munadi berkata, manfaat atau nilai pelindungan melalui Skim Emas adalah lebih dua kali ganda berbanding Skim 18.

Katanya, YGMB bersedia memberi peluang kepada 120,000 ahli sedia ada di seluruh negara untuk bertukar kepada skim baharu tersebut.

“Kita menyifatkan Skim Emas ini sebagai satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh warga pendidik tidak kira kepada yang baharu menjadi warga pendidik, sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara dalam sektor pendidikan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya