Penganggur tidak mengaku hentak kepala penghantar makanan dengan penukul - Utusan Malaysia

Penganggur tidak mengaku hentak kepala penghantar makanan dengan penukul

MUHAMMAD Aslam Hashim, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown atas tuduhan mencederakan seorang penghantar makanan menggunakan penukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah mencederakan seorang penghantar makanan menggunakan penukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, dekat sini Selasa lalu.

Muhammad Aslam Hashim, 31, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abdul Manap di Mahkamah Majistret Jenayah 1, di sini pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia pada 20 April lalu telah menyebabkan kecederaan kepada Koay Eng Tat dengan cara memukul menggunakan sebatang penukul besi di kepala mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Blok P, Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua, Gelugor, dekat sini sekitar pukul 4 petang.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan 25 Mei ini sebagai tarikh penyerahan dokumen serta lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Yazid Mustakim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang penghantar makanan berusia 40 tahun terpaksa menerima sembilan jahitan di bahagian kepala selepas dihentak dengan penukul besi oleh seorang lelaki.

Kejadian itu berlaku selepas pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka ekoran suspek dikatakan berang kerana mendakwa penghantar makanan berkenaan memarahi isterinya ketika menghantar makanan yang dipesan.

Sebelum itu, penghantar makanan berkenaan menunggu kira-kira 10 minit dan menelefon isteri suspek beberapa kali untuk mengambil makanan yang dipesan.

Beberapa minit selepas menghantar makanan itu, mangsa dihubungi semula oleh suspek kononnya bagi meminta penjelasan mengenai makanan yang dihantar.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka sehingga menyebabkan penghantar makanan berkenaan dipukul menggunakan penukul besi oleh suspek. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.