Penangguhan Undi18 tidak adil - Utusan Malaysia

Penangguhan Undi18 tidak adil

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh membenarkan pengundi berusia 18 tahun mendaftar sebagai pemilih dengan membuat pendaftaran secara manual di pejabat pos di seluruh negara.

Ia sebagai jalan lain untuk memastikan mereka diberikan hak memilih kerajaan kerana ketika ini pendaftaran automatik hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bagaimanapun berkata, pendaftaran mengundi secara manual juga tidak berfungsi kerana SPR dilihat ‘menghalang’ kaedah berkenaan.

Katanya, terdapat lebih 900 cawangan pejabat pos di seluruh negara yang dapat memudahkan proses pendaftaran dan tidak timbul isu perancangan dan persiapan SPR terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mahu daftar manual pun SPR tidak buka dan benarkan. Tidak adil kepada rakyat sedangkan Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019. Ketika itu rakyat sudah menaruh harapan dan berpegang pada janji SPR yang pengundi 18 tahun (Undi18) boleh mengundi.

“Saya terima alasan SPR tentang penyediaan urusan prasarana semakan dalam talian, memerlukan interaksi dengan jabatan dan agensi kerajaan lain tetapi sudah tiga tahun sejak RUU itu diluluskan di Parlimen. Saya rasa ada alasan lain yang rakyat tidak tahu tetapi saya enggan membuat andaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu dan diluluskan Parlimen serta mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Julai 2019.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Undi18 tidak dapat diteruskan kerana pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Dalam pada itu Wan Ahmad berkata, jika beliau masih mempunyai kapasiti berhubung pelaksanaan Undi18 itu, beliau akan melaksanakannya mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan tidak akan meminggirkan hak yang sepatutnya dimiliki oleh bakal pengundi.

Sementara itu Exco Kelab Belia Great Tawau, Mohammad Fauzi Acho berkata, jika kerajaan menetapkan pelaksanaan Undi18, anak-anak muda akan lebih cakna mengenai konsep demokrasi, raja berperlembagaan serta sistem pentadbiran yang diguna pakai dalam kerajaan.

“Jadi kesedaran awal remaja akan lebih awal dan pemikiran akan lebih matang. Saya setuju pelaksanaan Undi18 kerana daripada itu kerajaan dapat mengambil iktibar daripada Undi18 yang diimplimentasikan ini.

“Selain itu, kesediaan dan pengetahuan anak muda pada masa ini boleh diletakkan perkara nombor dua, tetapi apa yang penting kini pelaksanaan Undi18,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya