Kartel daging: Polis bebas 36 individu dengan jaminan - Utusan Malaysia

Kartel daging: Polis bebas 36 individu dengan jaminan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 36 pengarah dan pengurus syarikat yang ditahan di seluruh negara dalam Op Kartel Daging pada Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan ke atas mereka hampir selesai dan dibebaskan selepas tempoh reman sehari tamat.

“Kita sudah merakamkan keterangan mereka dan mendapat dokumen yang diperlukan seperti invois sebelum dibebaskan.

“Kini polis dalam proses untuk melengkapkan siasatan. Sekiranya sudah memperoleh maklumat mencukupi, kita akan tuduh secepat mungkin,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mendedahkan pakatan jahat 19 buah syarikat berkomplot mengedar daging import sejuk beku dari Brazil melebihi had permit dan menggunakan kotak berlogo halal bagi mengelirukan penjual.

Siasatan mendapati, kesemua 19 syarikat itu telah berkomplot dengan sebuah pengimport daging sejuk beku import yang sah sejak 2018 hingga tahun lalu.

Menurut Huzir, polis masih meneruskan usaha memburu dua suspek utama lelaki iaitu Tan Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, dekat sini dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang.

Sementara itu, mengulas lanjut, Md. Yusof berkata, beliau percaya dua suspek utama berusia 42 dan 44 tahun yang sedang diburu itu masih berada di dalam negara ketika ini.

“Hasil maklumat yang diperolehi, kita percaya mereka masih berada di dalam negara berdasarkan rekod perjalanan mereka. Melainkan mereka menggunakan laluan tikus bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya