Jawatan kuasa khas tangani isu harga ayam - Utusan Malaysia

Jawatan kuasa khas tangani isu harga ayam

AZMAN ADAM memeriksa harga ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Georgetown, Pulau Pinang dalam tinjauan susulan aduan kenaikan harga barangan itu dalam kalangan pengguna.- UTUSAN/MUHAMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebuah jawatan kuasa khas ditubuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini.

Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, jawatan kuasa itu memberi tumpuan di semua peringkat iaitu pengeluar, pemborong dan peniaga bagi mengenal pasti punca kenaikan harga barangan berkenaan.

Malah tambah beliau, menerusi jawatan kuasa khas itu juga, sebanyak 40 notis iaitu 16 notis kepada pengeluar dan 24 notis kepada pemborong dikeluarkan susulan aduan awam mengenai kenaikan harga ayam.

Jelasnya, notis itu dikeluarkan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut dalam mendapatkan maklumat kenaikan harga sekali gus mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Melalui notis ini juga, kita dapat maklumat yang perlu dan selepas itu baru kita boleh buat keputusan sama ada mereka (pengeluar, pemborong) melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya selepas menjalankan tinjauan di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Harga ayam di seluruh negara meningkat sehingga mencecah RM10.50 dan dijangka meningkat sehingga RM12 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Azman, setakat semalam, pihaknya menerima sebanyak 15 aduan mengenai kenaikan harga ayam.

Ujar beliau, pihaknya difahamkan kenaikan harga ayam berlaku disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Sebagai contoh, pada tahun lalu harga makanan ayam import dari Brazil dan Argentina naik dan 70 peratus komponen harga adalah melibatkan kos makanan ayam.

“Bagaimanapun, itu baru di peringkat awal siasatan. KPDNHEP akan siasat lebih lanjut dan pastikan kalau berlaku kenaikan di peringkat kos, ia tidak menjadikan berlakunya pencatutan harga. Jika berlaku tindakan akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mendapati bekalan mencukupi untuk kegunaan pengguna dan tidak berlaku masalah kekurangan bekalan ayam atau daging walaupun berlaku permintaan tinggi.

“Pengguna tidak perlu gusar kerana bekalan cukup, cuma pengguna dinasihatkan membeli barangan keperluan secara berhemah untuk mengelakkan pembelian panik seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya