Jaga 30 individu dibuang keluarga - Utusan Malaysia

Jaga 30 individu dibuang keluarga

ANTARA warga emas yang ditinggalkan ahli keluarga termasuk anak-anak mereka yang kini dijaga pasangan anak beranak secara percuma di pusat jagaan Jalan York, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 30 individu termasuk warga emas yang ditinggalkan keluarga termasuk dibuang terus oleh anak-anak tanpa sebarang khabar berita sejak dua tahun lalu, kini berada di sebuah pusat jagaan persendirian, di Jalan York, di sini.

Mereka yang terdiri daripada 20 lelaki dan wanita berbangsa Cina dan 10 India yang berusia dalam lingkungan 60 hingga 80-an itu tinggal di pusat jagaan diselia P. Jaya, 55, bersama anak sulungnya, M. Gogilavani, 34, secara percuma.

Menurut Gogilavani, kesemua individu terbabit diambil dari hospital berhampiran selepas waris atau ahli keluarga mereka dikatakan gagal membawa pulang sejurus selepas dibenarkan keluar dari wad.

“Kebanyakan warga emas terbabit menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk mengalami masalah nyanyuk dan mental. Kami juga membawa mereka membuat rawatan susulan setiap bulan.

“Kami menggalas tanggungjawab besar menjaga mereka termasuk memberi sepenuh kasih sayang seperti sebuah keluarga.

“Keluarga atau saudara-mara mereka langsung tidak pernah jenguk atau bertanya khabar walaupun kami memaklumkan tentang keberadaan ibu atau ayah mahupun kakak mereka di sini, termasuk menghulurkan duit penjagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Gogilavani berkata, dia kesal dengan perbuatan yang dilakukan anak-anak warga emas terbabit sehingga langsung tidak memperdulikan hal kebajikan, kesihatan serta penjagaan orang tua masing-masing.

“Ada yang saya hubungi, mereka mengatakan sudah tidak mahu lagi menjaga ibu atau bapa mereka termasuk tidak sanggup mengambil semula warga emas tersebut tanpa memberi sebarang alasan munasabah.

“Bukan setakat itu, ada yang sanggup mematikan telefon sebaik sahaja saya memperkenalkan diri dan memaklumkan tentang ibu bapa mereka. Disebabkan perkara itu, saya tidak menghubungi mereka lagi sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Operasi pusat jagaan warga emas yang baru berpindah di sebuah rumah lot di Jalan York dekat sini, tahun lalu itu diusahakan Jaya dan Gogilavani menggunakan wang simpanan keluarga.

Tambahnya, dia tidak pernah sesekali mengeluh dalam soal menjaga warga emas yang tidak dihiraukan keluarga itu biarpun berdepan dengan kekangan kewangan dan kekurangan peralatan pembersihan diri serta stok barangan keperluan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×