Guru tetap perlu daftar MySejahtera - Utusan Malaysia

Guru tetap perlu daftar MySejahtera

KHAIRY Jamaluddin (kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman(dua dari kanan) melawat warga emas pada PICK Daerah Melaka Tengah bagi fasa dua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Para pendidik tetap perlu membuat pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi My Sejahtera, meskipun kerajaan telah bersetuju untuk menempatkan golongan itu sebagai keutamaan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula sejak semalam.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana data pendaftaran melalui My Sejahtera akan diselaraskan dengan senarai Kementerian Pendidikan yang kini sedang disiapkan untuk dimasukkan dalam sistem agihan vaksin sebelum diberikan tarikh temu janji.

“Jadi saya sedang menunggu senarai daripada Kementerian Pendidikan, sebanyak 500,000 guru. Kita akan berikan keutamaan kepada mereka sama seperti apa yang dibuat kepada petugas kesihatan.

“Maksudnya mereka kena daftar My Sejahtera, mereka mesti daftar, kita akan juga masukkan nama mereka dalam keutamaan nanti,” katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan lawatan sempena PICK fasa kedua di Dewan Tun Ali di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy mengumumkan, lebih 500,000 guru di sektor pendidikan awam dan swasta akan disenaraikan sebagai penerima vaksin dalam fasa dua PICK yang bermula semalam.

Katanya, setakat ini, seramai 11,902 daripada 54,537 guru yang mempunyai penyakit kronik sudah menerima suntikan dos pertama, manakala selebihnya akan diberikan suntikan bulan ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan PICK fasa pertama untuk petugas barisan hadapan, Khairy berkata, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada mereka telah menerima dos pertama.

“Kita akan selesaikan sepenuhnya vaksinasi kepada barisan hadapan pada bulan ini. Yang baki ini telah terima dos yang pertama dan sedang menunggu untuk melengkapkan dua dos,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN