fbpx

26 Januari 2022, 4:03 am

  TERKINI

Dakwaan guru buat jenaka galak rogol disemak

RINA Harun (kanan) memyampaikan sumbangan barangan dapur kepada seorang penerima, Iznur Hida Mat Zalan pada Program Dapur Kita di Tanjung Tualang di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyemak dakwaan seorang guru lelaki yang dikatakan membuat jenaka berbaur lucah di hadapan pelajar semasa sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Selangor, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima aduan rasmi mengenai isu itu yang tular ekoran pendedahan seorang pelajar perempuan menerusi aplikasi TikTok.

“Saya belum dapat aduan rasmi. Saya perlu semak dahulu dan mendapatkan maklumat mengenai isu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Dapur Kita di Kapal Korek Tanjung Tua­lang No.5 (TT5), di sini hari ini.

Video berdurasi 59 saat itu memaparkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki terbabit yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.

Menurut pelajar itu, kejadian berlaku ketika kelas pendidikan jasmani di mana topik perbincangan adalah berkaitan kesedaran gangguan seksual dan cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Bagaimanapun dakwa pelajar itu, sesi pembelajaran yang berjalan lancar bertukar sebaliknya apabila guru terbabit mula membuat jenaka lucah berkaitan rogol termasuk mengatakan; ‘nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, korang rogol yang atas 18.’

Video dimuatnaik di aplikasi TikTok dan Twitter itu mengundang perdebatan warga maya yang rata-rata mengecam tindakan guru itu.

Setakat pukul 3 petang ini, video sama yang turut dimuatnaik di Twitter pelajar itu semalam, mendapat hampir 537,300 tontonan dan dikongsi semula 10,200 kali serta mendapat 9,194 tanda ‘like’.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Rina berkata, pihaknya yakin Kementerian Pendidikan mempunyai cara bagi menangani kluster pendidikan termasuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, penularan kes Covid-19 hingga menyebabkan beberapa buah sekolah terpaksa ditutup telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

“Kita tidak mahu anak-anak ketinggalan dalam pelajaran apabila sekolah ditutup, namun, pada masa sama, (kita perlu menjaga diri) kerana nyawa tidak boleh diganti.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan memandang serius perkara ini dan mengenakan SOP lebih ketat bagi memastikan wabak itu tidak merebak sekali gus dapat dihentikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI