Celcom-Digi bergabung bentuk syarikat telekomunikasi gergasi - Utusan Malaysia

Celcom-Digi bergabung bentuk syarikat telekomunikasi gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


PETALING JAYA: Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Digi.com Berhad (Digi) sah akan bergabung bagi membentuk syarikat telekomunikasi terbesar negara.

Kedua-dua syarikat induk Celcom dan Digi, Axiata Group Berhad dan Telenor Asia kini dalam perbincangan lanjut untuk penggabungan operasi tersebut yang akan membentuk syarikat gabungan (MergeCo) yang dinamakan sebagai Celcom Digi Berhad.

Sebagai sebahagian daripada transaksi penggabungan itu, Axiata akan menerima saham yang baharu diterbitkan mewakili 33.1 peratus pegangan saham selepas transaksi dan jumlah penyamaan tunai kira-kira RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion daripadanya datang dari Digi sebagai hutang baharu dan baki RM300 juta dari Telenor.


Telenor akan turut menerima peratusan saham yang sama.

Axiata berkata, penggabungan tersebut akan menyatukan operasi domestik Axiata dan Telenor dari segi skala, kebolehsaingan, kewangan dan pengalaman bagi menjana nilai sinergi yang signifikan untuk tampil lebih kukuh dan berdaya tahan secara komersial.

“MergeCo akan dianggap sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Malaysia dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan, dengan pendapatan proforma kira-kira RM12.4 bilion, EBITDA gabungan kedua-dua entiti sebelum sinergi kira-kira RM5.7 bilion dan jangkaan 19 juta pelanggan.

“Dengan kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan, Axiata dan pemegang saham institusi tempatan utama akan memiliki lebih 51 peratus MergeCo,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Dengan pegangan majoriti saham, Axiata berhak untuk meletakkan calon awal untuk jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MergeCo.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Digi berkata, dengan penggabungan tersebut, MergeCo mampu menerajui penyelidikan dan inovasi dalam perkhidmatan telekomunikasi serta membantu menyediakan platform untuk mempercepat pertumbuhan digital dalam ekosistem tempatan.

“Ekonomi digital yang progresif adalah penting untuk kedayatahanan dan kebolehsaingan ekonomi masa hadapan.

“MergeCo itu juga akan berada pada kedudukan yang terbaik untuk menyediakan inovasi industri, keterhubungan berkualiti tinggi serta cadangan nilai yang pelbagai kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Statista.com, pada 2019, Celcom menguasai 18 peratus pasaran langganan telefon bimbit di Malaysia manakala Digi menguasai 24 peratus daripadanya.

Jabatan Perangkaan melaporkan, peratus penggunaan internet di Malaysia meningkat kepada 84.2 peratus pada 2019 daripada 81.2 peratus 2018.

Lantikan jawatan utama Celcom Digi Berhad:

Pengerusi – Datuk Izzadddin Idris
Naib Pengerusi – Jorgen C. Arentz Rostrup
Ketua Pegawai Eksekutif – Idham Nawawi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×