fbpx

Bengkel terbakar 30 minit sebelum berbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Permulaan Ramadan tahun ini bertukar tragedi kepada seorang pekerja bengkel kimpalan apabila bahagian badan, tangan dan kakinya melecur selepas premis kerjanya terbakar di Jalan Tangga Batu di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang, mangsa berusia 22 tahun dikejarkan ke Hospital Melaka menaiki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Manas berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7 malam dan seramai 13 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dikejarkan ke lokasi bersama sebuah EMRS.

“Setiba di lokasi, kita dapati sebuah premis bengkel kimpalan sedang terbakar dan terdapat seorang mangsa lelaki di dalamnya.

“Pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan dan berjaya membawa keluar mangsa yang melecur pada bahagian badan, tangan dan kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, mangsa kemudian telah diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS dan dikejarkan ke Hospital Melaka.

“Kebakaran premis berjaya dipadamkan 15 minit kemudian dan operasi tamat pada pukul 8.07 malam.

“Punca kebakaran bagaimanapun masih lagi dalam siasatan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

×
×