Bazar Tengku Anis gagal tarik pengunjung - Utusan Malaysia

Bazar Tengku Anis gagal tarik pengunjung

PENUTUPAN premis perniagaan untuk satu tempoh yang terlalu panjang bukan sahaja menyebabkan peniaga terkesan, malah pekerja mereka turut merasakan keperitan terutama jika dibuang kerja atau dipotong gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelonggaran diberikan kerajaan yang membenarkan premis perniagaan beroperasi seperti biasa membolehkan pusat beli-belah di sekitar bandar ini mula rancak menerima kehadiran pelanggan.

Namun Bazar Tengku Anis di Jalan Istana di sini yang pernah disebut-sebut bakal menjadi mercu tanda baharu Kelantan ibarat projek ‘gajah putih’ apabila gagal menarik minat orang ramai berkunjung ke situ sejak mula beroperasi pada 2016.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bazar tersebut suram dan lengang tanpa kehadiran pengunjung dengan hanya 30 peniaga masih bertahan di situ manakala sebahagian besar lot kedai kosong tanpa penyewa.

Para peniaga mendakwa, sebelum pandemik Covid-19, mereka masih mempunyai pelanggan namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac lalu, perniagaan mereka terjejas teruk hampir 100 peratus.

Peniaga kain batik, Suraya Abdullah, 55, berkata, jika dilihat pada lokasi, Bazar Tengku Anis agak strategik kerana terletak di kawasan pusat bandar selain berdekatan masjid, kedai makan dan hotel.

“Ketika saya mula berniaga pada 2016, Bazar Tengku Anis terutama di tingkat satu ini mendapat perhatian kerana ramai pelanggan datang ke sini terutama pelancong dari luar Kelantan.

“Ketika itu terdapat 100 lot kedai di tingkat satu sahaja yang menjual pakaian seperti baju kanak-kanak, tudung, batik dan kain pasang. Namun lama kelamaan, banyak lot kedai ditutup kerana rugi sebelum mereka mencari rezeki di Bazar Tok Guru pula,” katanya.

Suraya berkata, ketika ini perniagaannya merosot teruk apabila hanya memperoleh pendapatan RM100 dalam masa tiga hari.

“Tapi apa boleh buat, saya terpaksa juga berniaga di sini kerana sudah membeli lot kedai dengan harga RM140,000,” katanya.

Peniaga batik dan tudung, Rohani Abdul Aziz, 55, pula mendedahkan, bekalan kain batik yang dibelinya sejak tiga tahun lalu sampai kini masih belum habis terjual, gara-gara tiada pelanggan bertandang ke bazar itu.

“Dalam sehari untuk dapat RM10 pun susah. Dalam masa seminggu, hasil jualan saya antara RM50 hingga RM100 dan saya terpaksa berjimat cermat kerana masih perlu bayar sewa kedai RM400 sebulan.

“Harap sangat kerajaan negeri bantu cari jalan untuk tarik pelanggan ke Bazar Tengku Anis yang sepatutnya menjadi salah satu produk pelancongan negeri Kelantan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya