GERIK : Seramai 44 peniaga Bazar Ramadan gembira apabila mereka diberi peluang untuk berniaga dengan percuma di tapak bazar Ramadan, di Tapak Letak Kereta Stesen Bas Pengkalan Hulu.
Peniaga air kelapa, Supian Abd Razak, 45, berkata, bayaran tapak RM100 yang dikenakan oleh Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) itu akan digunakan sebagai modal untuk membeli barangan jualan bagi persediaan untuk memasuki Bazar Ramadhan nanti.
“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Aznel Ibrahim yang bermurah hati membantu menjelaskan bayaran sewa tapak Bazar Ramadhan kepada peniaga-peniaga ini yang kebanyakkannya terkesan dengan penularan Covid 19 ini.”
“Tahun lepas kami tidak dapat berniaga kerana masalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan kami mengharapkan agar Bazar Ramadhan tahun ini ada sambutan daripada pengunjungnya,” kata Supian ketika menghadiri Majlis Taklimat Kesihatan Bazar Ramadan 2021 di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Daerah Pengkalan Hulu, hari ini.
Peniaga nasi berlauk, Norziah Osman, 54, berkata, dia amat teruja bercampur dengan risau apabila terpaksa mengikuti norma baharu ketika berniaga nanti.
“Semua peniaga perlu mematuhi peraturan dan SOP yang dikenakan dan kami telah bersedia untuk melakukan semua itu demi kepentingan bersama.”
“Diharapkan keadaan semasa pada hari ini beransur pulih dan kita dapat menjalani aktiviti harian serta dapat menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan seperti biasa dan meriah,” katanya.
Sementara itu, Aznel berkata, beliau merasa bertanggung jawab membantu peniaga-peniaga ini memandangkan keadaan mereka yang baharu hendak memulakan perniagaan dalam suasana Covid-19 ini.
“Sebanyak 67 tapak disediakan untuk peniaga-peniaga ini yang akan menjual pelbagai menu dan juadah yang menarik untuk berbuka puasa.”
“Bazar Ramadan boleh menjadi punca pendapatan kepada penduduk kampung sehingga boleh menampung perbelanjaan mereka selama enam bulan dan saya harap mereka akan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang telah diberikan ini,” kata Aznel.
Katanya lagi, peniaga perlu mengutamakan kebersihan dan lebih bersistematik bagi memastikan kebersihan tapak niaga dan persekitarannya berada dalam keadaan terjaga dan bersih bagi mengelakkan jangkitan pelbagai penyakit.
Beliau juga berharap agar peniaga-peniaga ini mempunyai kekuatan diri untuk berniaga kerana mereka berkemungkinan terpaksa menanggung risiko kerugian dan sebagainya dalam keadaan yang luar jangka.- UTUSAN ONLINE










