268,800 dos vaksin AstraZeneca tiba malam tadi - Utusan Malaysia

268,800 dos vaksin AstraZeneca tiba malam tadi

DR. Adham Baba (tengah) menyerahkan peruntukan kepada salah sebuah NGO pada Majlis Penyampaian Peruntukan Parlimen Tenggara di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Tenggara, Taman Daiman di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebanyak 268,800 dos vaksin jenis AstraZeneca selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.20 malam, semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penghantaran pertama vaksin berkenaan diperoleh melalui fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access (Covax).

“Ini merupakan penghantaran pertama melibatkan 268,800 dos melalui pembelian yang kita telah laksanakan pada Disember lepas, ia dilaksanakan menerusi fasiliti Covax yang kita beli melalui tabung solidariti sebelum ia dihantar dari Korea Selatan.

“Kita akan menyimpan (vaksin ini) di gudang dalam kawasan yang telah ditetapkan. Jadi, untuk itu, kita telah ada tambahan jenis vaksin dalam negara kita selain Pfizer- BioNTech dan Sinovac,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) pada Majlis Penyampaian Peruntukan Parlimen Tenggara di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Tenggara, Taman Daiman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kebimbangan masyarakat terhadap vaksin jenis itu, Dr. Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah membuat keputusan untuk membeli vaksin itu hanya selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, penelitian terhadap kesemua data-data daripada pengeluar dan juga termasuk dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kelebihan menggunakan vaksin tersebut adalah melebihi kemudaratan.

“Pandangan kita ada kebaikan vaksin AstraZeneca bila guna kepada kumpulan-kumpulan tertentu. (Sebab itu) kena banyakkan calon (jenis) vaksin kerana keperluan vaksin ada yang boleh serasi dengan bentuk-bentuk vaksin seperti ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya berkenaan adakah rentas negeri dibenarkan sekiranya kes harian Covid-19 menurun, beliau berkata, perkara itu akan dibuat berdasarkan beberapa indikator.

“Melihat kepada pengumuman dibuat iaitu tiada rentas negeri sehingga lepas Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan beberapa indikator dan antara yang penting adalah Kadar kebolehjangkitan (Rt).

“Kedua, kadar insiden setiap daerah dalam negara dan paling kecil kita pantau mengikut mukim dan kampung. Kemudian kita tengok juga kadar kematian kawasan tersebut dan varian baru yang tembus dalam komuniti. Kita perlu lihat pada ‘border control’ sebab itu rentas negeri jadi elemen penting untuk memutuskan rantaian Covid -19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya