Wakil rakyat Sabah, Sarawak gesa tarik keputusan rayuan - Utusan Malaysia

Wakil rakyat Sabah, Sarawak gesa tarik keputusan rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekumpulan wakil rakyat Sabah dan Sarawak meminta Kerajaan Persekutuan untuk menarik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.

Mereka membabitkan 18 ahli Parlimen, empat ahli Dewan Negara dan 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu juga menggesa kerajaan untuk menerima keputusan mahkamah itu.

Kumpulan wakil rakyat itu dalam kenyataan memaklumkan kerajaan dan rakyat Malaysia wajar menerima dan tidak merayu keputusan mahkamah itu dan menyifatkan larangan penggunaan kalimah Allah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

“Kami menyeru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu supaya polemik sejak 35 tahun lalu ini dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Sabah, Sarawak dan Orang Asli dapat berakhir,” kata kenyataan itu hari ini.

Wakil rakyat membuat kenyataan bersama itu daripada DAP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Sarawak Bersatu (PSB), PKR, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) dan bebas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.

Sebaliknya Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Dalam pada itu, kenyataan sama menambah, bahasa Iban menggunakan ‘Allah Taala’, bahasa Bidayuh pula menggunakan ‘Tuhan Alla’ merujuk sebagai kalimah ‘Yang Maha Esa’ manakala etnik Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit pula menggunakan kalimah ‘Tuhan Allah’.

Jelas kenyataan itu, bahasa Malaysia digunakan secara meluas oleh penganut Kristian Sabah dan Sarawak selepas pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ia tidak digunakan ketika zaman penjajahan.

“Malah umat Islam Sabah dan Sarawak tidak berasa terancam dengan saudara-mara atau rakan Kristian mereka menyembah Allah untuk satu tuhan yang bersandarkan daripada ajaran Nabi Ibrahim. Mereka percaya walaupun berbeza kepercayaan namun ia tidak perlu diskriminasi antara satu sama lain.

“Keputusan Kabinet pada 1986 yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai satu kekhilafan dan ia berpunca akibat tekanan sesetengah orang Semenanjung Malaysia yang berasa tidak selamat dan tahu dengan situasi berlaku di Sabah dan Sarawak.

“Mereka mendakwa keputusan mahkamah itu akan menyebabkan tidak selamat sebaliknya ia berpunca akibat sentimen tidak berasas dan cuba diapi-apikan oleh sesetengah pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN