PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menyatakan pendirian dan menjelaskan status pelaksanaan pengundi 18 tahun bagi memastikan generasi muda tidak merasa terhina atau dikhianati.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim semalam bercanggah dan seperti cubaan menggagalkan pelaksanaan itu walaupun hakikatnya telah diluluskan menerusi undian sebulat suara di Parlimen.
Katanya, kenyataan Rais juga bertentangan dengan penjelasan Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 November lalu yang menjelaskan di Parlimen bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
“Kenyataan Rais adalah suatu yang amat mengecewakan. Ini pastinya bertentangan dengan kenyataan Takiyuddin pada 3 November lalu yang menjelaskan di Parlimen bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
“Justeru, tidak wajar untuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap satu dalih bahkan cubaan meremehkan anak muda berumur 18 tahun ke atas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam, menerusi satu ruangan bual bicara di sebuah rancangan televisyen, Rais berkata, kelayakan mengundi pada pilihan raya di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Menurut Rais, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu. -UTUSAN ONLINE