UMNO tiada dalam senarai perkasa PN - Utusan Malaysia

UMNO tiada dalam senarai perkasa PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tiada dalam senarai memperkasakan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

1. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada hari ini telah dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

2. Dalam mesyuarat tersebut, Bersatu menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

3. Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

4. Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

5. Justeru, Bersatu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mendukung serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN.

6. Berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO bertarikh 26 Februari 2021, Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

7. Dalam hal ini, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

8. Bersatu juga berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Kenyataan tersebut susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang berlangsung lebih dua jam di Putrajaya, petang tadi.

Yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee; Datuk Radzi Jidin serta Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Selain itu, Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun.

Mesyuarat berkenaan dibuat bagi membincangkan mengenai pendirian Bersatu berhubung dua keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Keputusan itu dinyatakan dalam surat Presiden UMNO bertarikh 26 Februari lalu kepada Muhyiddin berhubung keputusan Mesyuarat MT UMNO itu pada 19 Februari lalu di Janda Baik, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya