Tukang jahit harap sinar baru - Utusan Malaysia

Tukang jahit harap sinar baru

HARYATI Bohari membuat lakaran pakaian yang ditempah pelanggan di rumahnya di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Menjelang bulan Ramadan dan seterusnya sambutan hari raya Aidilfitri, lazimnya, tukang jahit tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan untuk bergaya pada pagi Syawal bersama ahli keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, disebabkan negara masih dilanda pandemik Covid-19, suasana itu tidak berlaku apabila tempahan daripada orang ramai masih perlahan kerana ramai masih bimbang dan takut akan berhari raya ‘di rumah’ sahaja seperti tahun lalu.

Tukang jahit di Kampung Parit Panjang, Haryati Bohari, 37, berharap episod malang yang menimpa tukang jahit pada tahun lalu tidak berulang pada tahun ini dengan pelanggan kembali membuat tempahan.

Katanya, walaupun ada menerima tempahan pada tahun lalu, namun banyak pelanggan tidak mahu meneruskan meskipun kain telah dihantar kerana mereka ingin menangguhkan dahulu pembuatannya.

“Banyak keluarga yang mahu membuat baju sedondon sekeluarga juga meminta ditangguhkan dahulu disebabkan kerajaan tidak membenarkan sambutan hari raya seperti mana sebelum Covid-19 berlaku.

“Malah, pada tahun lalu hanya 30 pasang dapat disiapkan, manakala selebihnya tangguh kerana pelanggan mengambil keputusan tidak menyambut hari raya secara meriah,” katanya ketika ditemui di Ayer Baloi, di sini, baru-baru ini.

Haryati yang telah 12 tahun menjadi tukang jahit menambah, pada musim perayaan dia biasanya mampu meraih pendapatan sehingga RM7,000 berbanding hari-hari biasa bergantung kepada tempahan.

“Kalau bukan musim perayaan, pendapatan hanya sekitar RM500 hingga RM1,000 sebulan dan ia digunakan untuk membantu urusan perbelanjaan harian keluarga dan sebagainya,” ujarnya.

Bagi Siti Jahora Abu Bakar, 49, pula, dia menyifatkan tempahan yang diterima pada tahun lalu merudum hampir 70 peratus sekali gus menyebabkan pendapatannya amat berkurangan.

Katanya, jika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia menerima hampir 100 hingga 200 tempahan yang bermula dua bulan sebelum bulan Ramadan pada setiap tahun.

“Pada tahun ini, tempahan masih berkurangan kerana ketiadaan banyak majlis perkahwinan juga menjadi faktor golongan wanita tidak membuat baju baharu untuk ke majlis tersebut.

“Malah, walaupun ada tempahan daripada pelanggan untuk membuat baju baharu untuk dipakai pada hari raya namun ia hanya sekitar 50 helai sahaja termasuk kain-kain yang tidak dibuat pada tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, setiap kali musim perayaan, dia yang sudah lebih 30 tahun menjadi tukang jahit pernah memperoleh pendapatan sebanyak RM10,000 yang turut memberikan pekerjaan sampingan kepada jiran-jiran tetangganya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya