Trauma punca Sajad lari? - Utusan Malaysia

Trauma punca Sajad lari?

NUR SAJAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kehilangan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat dipercayai disebabkan trauma susulan dirinya yang pernah ditahan baru-baru ini.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, Muhammad Sajjad trauma selepas dipanggil untuk sesi soal siasat dan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) secara beramai-ramai serta digari.

“Dia (Muhammad Sajjad) beranggapan tindakan JAIS seakan-akan seperti hendak mempermainkannya.

“Malah dia juga pernah mengatakan tidak mahu lagi membantu mana-mana pihak lagi seperti yang dilakukannya sebelum ini kerana berasa perbuatan tersebut hanya sia-sia,” katanya di sini semalam.

Jelas sumber tersebut, kehilangan Muhammad Sajjad hanya menyebabkan kedua ibu bapanya risau memandangkan keadaannya yang hilang tanpa khabar berita.

“Saya difahamkan mereka risau dan tercari-cari di mana anaknya dan dia juga tidak membalas mesej WhatsApp yang dihantar kepadanya. Semua pihak berharap dia akan tampil agar dapat membantu kerana tindakannya menghilangkan diri hanya menyebabkannya terus menjadi buruan,” katanya.

Pada 23 Februari lalu, Muhammad Sajjad dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam.

Bagaimanapun, serbuan ke kediamannya di Seksyen 10, Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini yang dilakukan petugas JAIS dengan bantuan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu tidak menemukannya dan dia disyaki bersembunyi di lokasi lain.

Muhammad Sajjad membuat kejutan seolah-oleh berniat mahu menukar agama melalui sebuah video berdurasi satu minit 48 saat tular dalam media sosial yang tidak dapat dipastikan tarikh video itu dimuat naik sama ada baharu atau lama.

Muhammad Sajjad menghilangkan diri tanpa khabar selepas memberikan sijil cuti sakit (MC) kepada peguamnya Isnin lalu.

Dalam pada itu penahanan Muhammad Sajjad oleh JAIS adalah bertujuan membantunya daripada tidak terus terpesong dengan ajaran Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya bersama JAIS sekadar ingin membantunya dan mengadakan perbincangan demi kebaikan semua pihak.

“Sekiranya boleh, datang secara sukarela dan ikhlas berjumpa dengan JAIS supaya kita dapat berbincang.

“Tidak perlulah saudara menyembunyikan diri sebab negara kita ini bukannya besar sangat, cepat atau lambat kita akan mendapatnya,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Kempen Prihatin Buah Pinggang Kita Semua anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Abdul Aziz turut menegur sikap Muhammad Sajjad yang gemar membuat kenyataan menerusi media sosial kerana hanya akan menambah sentimen tidak baik dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, pihaknya boleh nasihat kepada Muhammad Sajjad dan tidak perlulah dia buat kenyataan dalam media sosial yang hanya menimbulkan benda yang bukan-bukan.

Di PUTRAJAYA, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, kenyataan yang berbaur ancaman murtad itu dilihat boleh memberi kesan mendalam terhadap umat Islam negara ini.

Menurutnya, kenyataan kontroversi yang dikeluarkan individu sedemikian dikhuatiri akan membuka kepada pintu-pintu keburukan lain dalam masyarakat.

“Sehubungan itu, kita ingin menasihatkan umat Islam supaya sentiasa memelihara maruah diri dan berhati-hati dalam menyiarkan sebarang kenyataan kepada umum,” jelasnya.

Beliau menegaskan, dalam Islam, setiap percakapan yang mengundang keburukan sama ada ke atas diri sendiri atau orang lain, akhirnya akan dinilai sebagai suatu dosa di sisi Allah.

Katanya, malah Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam agar memelihara lidah daripada melafazkan perkataan yang buruk atau boleh membuka keaiban diri sendiri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN