PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil mempersoalkan tarikh Parlimen bersidang yang masih belum ditetapkan sehingga ke hari ini, meskipun dibenarkan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh darurat.
Dalam catatan terbaharu di akaun Facebook peribadinya, beliau menyifatkan fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan ‘sains dan data’.
“Sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuat kuasa. Namun sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid berpendapat, sudah tiba masa sidang di Parlimen diadakan berdasarkan ‘sains dan data’.
“Pertama, fungsi Parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain. Kedua, ramai Ahli Parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.
“Ketiga, kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab Parlimen terus ditutup,” katanya.
Malah Zahid juga menganggap keselamatan di Parlimen telah pun dibuktikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang berlari sekeliling Parlimen baru-baru ini sebagai gimik untuk acara ‘Parliament Virtual Run 2021’.
“Ini bermaksud Parlimen adalah sebuah kawasan yang selamat dan akan tetap selamat apabila semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.










