'Saya tak berbangga dengan notis saman yang banyak' - Utusan Malaysia

‘Saya tak berbangga dengan notis saman yang banyak’

PENGAMAL media cetak dan elektronik menerima sijil penghargaan bergambar bersama Zailani Hashim (barisan tengah dua kanan) pada Majlis Perhimpunan Setia JPJ di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bilangan notis saman yang banyak dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya wujud bukan semata-mata untuk menyaman sebaliknya bertujuan memastikan orang ramai mematuhi undang-undang jalan raya.

“Apa yang saya ingin beritahu, saya tidak bangga dengan kes notis saman yang banyak, sebaliknya saya bangga apabila kutipan itu berkurangan.

“Ini bermakna orang ramai telah mematuhi peraturan, sekali gus kes kemalangan juga akan berkurangan daripada semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ di Pejabat JPJ Panji di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Zailani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 pengamal media cetak dan elektronik.

Dalam pada itu, Zailani mengingatkan anggota JPJ supaya mengutamakan integriti, susulan penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan jabatan itu di beberapa negeri sepanjang bulan ini.

Beliau berkata, penahanan itu adalah hasil kerjasama antara JPJ dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah.

“Kita tidak akan berkompromi dengan anggota dan pegawai yang terpalit dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik jabatan, terutamanya dalam aspek integriti.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan, tindakan tegas akan diambil berpandukan kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu lori yang menyalahi undang-undang jalan raya membabitkan jumlah rasuah RM1.64 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN