KOTA KINABALU: Polis Sabah tidak menolak kemungkinan negeri ini masih berdepan dengan ancaman kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR).
Walaupun Sub Komander Abu Sayyaf, Apo Mike yang terlibat dengan beberapa siri penculikan di Sabah ditembak mati di Filipina baru-baru ini, ancaman penculikan serta jenayah rentas sempadan sentiasa ada.
Sejak 2018 hingga Januari 2020, pasukan keselamatan menumpaskan kira-kira 40 cubaan penculikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, ancaman penculikan di Sabah sentiasa ada.
“Namun, sepanjang pelaksanaan perintah berkurung, keadaan agak terkawal dan beberapa cubaan penculikan juga digagalkan oleh pasukan keselamatan,” katanya.
Buat masa ini, tiada warga Malaysia yang masih menjadi mangsa tebusan dan berada dalam tahanan kumpulan Abu Sayyaf.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ancaman keselamatan dan penculikan memang sentiasa berlaku di negeri ini.
“Memang boleh dikatakan tiap-tiap kali ada ancaman. Tetapi, kita sentiasa menjaga sempadan perairan kita melalui pelbagai operasi pencegahan dan risikan mahupun maklumat yang diperoleh daripada pasukan keselamatan negara jiran.
“Secara keseluruhan, keadaan perairan di Esszone memang terkawal. Atas sebab itu, kita memerlukan beberapa peralatan canggih seperti gajet untuk memperketat lagi kawalan keselamatan di perairan negara di negeri Sabah,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Fuad berkata, cubaan penculikan yang terakhir digagalkan di Sabah adalah pada 16 Januari 2020 yang membabitkan lima nelayan warga Indonesia yang diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu.
Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 melanda, keadaan agak terkawal dan ancaman penculikan tidak berlaku kerana negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina turut melaksanakan operasi pencegahan masuk ke perairan negara masing-masing.
“Di Sabah, kita turut menjalankan operasi pencegahan seperti Op Cegah PATI Lautan dan Op Cegah PATI Daratan. Pelaksanaan operasi-operasi sebegini memberi kesan dalam membantu mengawal kegiatan jenayah rentas sempadan terutama penculikan. Cuma, kita masih memberi fokus agar ancaman jenayah ini tidak berlaku.
“Kita akan cuba sedaya upaya dengan aset yg kita ada, walaupun agak terhad namun, kita cuba lakukan yang terbaik,” jelasnya.
Bagaimanapun, kesemua nelayan warga Indonesia yang masih hidup diselamatkan pasukan keselamatan Filipina pada 18 dan 21 Mac lalu. Menerusi kenyataan Kementerian Luar Indonesia, tiga daripada nelayan Indonesia yang diculik ini berjaya diselamatkan pada 18 Mac lalu di perairan Tawi-Tawi, Filipina.
Mangsa terakhir iaitu Mohd Khairuldin,15, diselamatkan di Pulau Kalupag, Languyan, Tawi-Tawi pada 21 Mac. Seorang lagi mangsa culik iaitu La Baa,32, ditemukan mati dibunuh pada 26 September 2020 di Patikul, Sulu, Filipina. – UTUSAN ONLINE











