Produk kesihatan RM1.89 juta tidak berdaftar dirampas - Utusan Malaysia

Produk kesihatan RM1.89 juta tidak berdaftar dirampas

MOHD. Hairul Anuar Bohro (tengah) menunjukkan sebahagian produk kesihatan yang dirampas kerana tidak berdaftar pada sidang akhbar di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas sejumlah 18,940 kotak produk kesihatan bernilai RM1.89 juta dalam satu serbuan di sebuah premis di Kempas, di sini, petang semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, serbuan pada pukul 4 petang itu dijalankan seramai 10 pegawai penguat kuasa ekoran aduan awam berhubung satu perniagaan jualan langsung yang disyaki tidak berdaftar.

Menurut beliau, premis yang diserbu berkenaan merupakan sebuah stor simpanan produk kesihatan itu yang dipercayai perniagaan itu telah beroperasi sejak 2018.

“Ketika serbuan dibuat, terdapat lima orang pekerja berusia antara 30-an hingga 50-an berada di dalam premis berkenaan, namun, mereka tidak ditahan sebaliknya hanya diambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Seorang daripada mereka merupakan pemilik premis yang berusia anggaran 30-an,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hairul, ini merupakan kali pertama pihaknya membongkar kes berkaitan perniagaan jualan langsung tidak berdaftar di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya produk itu dihasil dan dibungkus di Malaysia untuk dijual dengan harga antara RM100 dan RM105 sekotak untuk pasaran tempatan melalui pelbagai kaedah jualan.

“Bungkusan produk ini juga mempunyai logo pengesahan tempatan, namun, kita akan menyiasat ketulenan logo itu dengan pihak-pihak yang berkaitan terlebih dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Hairul berkata, aktiviti menjalankan perniagaan jualan langsung secara tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid (AJLSAP) 1993.

“Ia menjadi salah kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan perjalanan operasi perniagaan dan pentadbiran syarikat, sekaligus mendedahkan pembeli dengan risiko penipuan produk palsu, selain turut menyebabkan mereka yang menyertai aktiviti jualan langsung syarikat berkenaan, tertipu.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta memeriksa terlebih dahulu latar belakang syarikat, sebelum melibatkan diri dengan sebarang aktiviti atau perniagaan jualan langsung agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya