PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) bersedia menganjurkan bazar Ramadan tahun ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Presidennya, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, pihaknya mengenal pasti lima lokasi penganjuran bazar Ramadan sekitar Putrajaya membabitkan penyediaan sekurang-kurangnya 100 tapak perniagaan.
Katanya, antara lokasi yang dikenal pasti adalah di Presint 12, Laman Duta dan Laman Perdana Presint 1, Putrajaya.
“SOP penganjuran bazar Ramadan yang berbentuk bazar mini ini telah kita serahkan kepada MKN dan Kementerian Kesihatan.
“Buat masa ini, kita menunggu keputusan dan sekiranya mereka memberi kebenaran, insya-Allah kita akan menyediakannya mengikut SOP yang dikeluarkan,” katanya selepas Majlis Anugerah Bandar Mampan Malaysia dan Anugerah Kejiranan Hijau (AKH) di sini semalam.
Majlis penyerahan anugerah telah disampaikan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr. Shamsaini Shamsuddin kepada Muhammad Azmi.
AKH adalah satu anugerah yang diwujudkan di bawah penilaian PLANMalaysia sebagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti dan individu atas usaha melaksanakan inisiatif pembangunan kejiranan hijau.
PPj muncul juara dalam AKH bagi kategori PBT menerusi penyertaan inisiatif pembangunan sistem laluan basikal dan pejalan kaki di kawasan kejiranan hijau Presint 8 yang melibatkan jajaran sepanjang 25 kilometer.
Di samping itu, PPj juga berjaya mengekalkan status Bandar Mampan Malaysia sejak tahun 2012 hingga kini apabila berada di kedudukan tiga teratas bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
PLANMalaysia telah menerima 126 permohonan dan hanya 102 layak dinilai di mana 75 PBT mencapai status mampan manakala 27 sederhana mampan.










