Pesakit Covid-19, PUI, PUS dipakai peranti pengesan - Utusan Malaysia

Pesakit Covid-19, PUI, PUS dipakai peranti pengesan

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang dijangkiti Covid-19 akan dipakaikan alat peranti pengesan dengan teknologi terkini untuk mengawal pergerakan mereka dalam tempoh rawatan atau kuarantin.

Perkara itu bakal dikuatkuasakan bermula 11 Mac ini selepas satu peruntukan baharu diwujudkan iaitu Seksyen 15A dimasukkan ke dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang akhbar bersama berkata, perintah pemakaian peranti itu turut dikenakan kepada mereka yang disyaki (PUI) dijangkiti penyakit berjangkit atau kontak kepada kes (PUS) untuk menjalani pengasingan bagi pengawasan dan pemerhatian.

Walau bagaimanapun, katanya, pemakaian gelang tangan atau gelang pengawasan yang digunakan ketika ini masih dikuatkuasakan di bawah peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 9) 2020.

“Di bawah Ordinan ini, penalti akan dikenakan ke atas individu yang dipakaikan peranti pengesanan sekiranya alat tersebut dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah.

“Alat pengesanan ini akan diutamakan kepada kes-kes kuarantin di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kerana pengawasan lebih mudah berbanding mereka yang sedang dirawat di hospital,” katanya semalam.

Menurut beliau, pemakaian alat pengesanan ini antara lima peruntukan baharu di bawah Ordinan Darurat selain lima pindaan peruntukan sedia ada dalam Akta 342 dalam usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Antara peruntukan baharu lain ialah Seksyen 21A bagi membolehkan Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan arahan sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang atau golongan supaya mengambil langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Selain itu katanya, peruntukan baharu melibatkan penguatkuasaan untuk memberi kuasa menangkap, menjalankan penyiasatan dan memberikan maklumat berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

“Pada masa ini, tiada punca kuasa hingga menyukarkan tugas penguatkuasaan. Kanun Tatacara Jenayah akan digunakan dalam melaksanakan kuasa untuk menangkap.

“Peruntukan baharu bagi Seksyen 22A pula bertujuan membolehkan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 342 dipertuduhkan kepada pertubuhan perbadanan serta penalti dikenakan sekiranya berlaku perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran pekerja, atau pekerja ejen dalam masa penggajiannya atau ejennya semasa bertindak bagi pihak orang lain,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, peruntukan baharu Seksyen 31 pula melibatkan kuasa membuat peraturan-peraturan sebagai punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

Katanya, peraturan yang dibuat di bawah subseksyen baharu ini boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan itu menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN