UMNO tidak mampu bertanding secara bersendirian pada PRU-15 -

UMNO tidak mampu bertanding secara bersendirian pada PRU-15

Perhimpunan Agong UMNO 2020 merupakan pentas tertinggi yang akan menentukan hala tuju UMNO terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO tidak boleh bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), malah perlu bersama Perikatan Nasional (PN) dan membentuk sebuah pakatan lebih kuat bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan termasuk parti-parti bukan Melayu di bawah PN.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, melihat kepada senario ketika ini, amat sukar UMNO bertanding sendirian untuk membentuk sebuah kerajaan seperti yang pernah berlaku sebelumnya.

Lebih memburukkan, kata beliau, sekiranya UMNO bertanding bersendirian di kawasan majoriti Melayu, akan berlaku satu pertembungan dahsyat antara parti-parti Melayu.

Malah katanya, jika bertanding di kawasan campuran pula yang mana jumlah besar pengundi bukan Melayu, mengikut kecenderungan sekarang ini mungkin lebih memihak kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus berlaku kekalahan.

“Jadi, dalam konteks penyatuan Melayu Islam yang menjadi teras kepada kestabilan politik Malaysia, sekiranya hasil PRU-15 adalah angka yang sama atau hampir sama dengan PRU-14, maka kestabilan politik tidak berlaku.

“Kita harus akui bahawa kestabilan politik Malaysia harus ada satu parti Melayu dominan yang menjadi teras dan parti-parti bukan Melayu sebagai sokongan bagi mengukuhkannya. Tetapi sekiranya berlaku perpecahan yang jelas di antara parti-parti Melayu, maka kestabilan politik tidak akan tercapai di Malaysia,” katanya dalam Webinar PINTAR 5: ‘Perhimpunan Agung UMNO 2020: Ke mana hala tuju UMNO?’ semalam.

Sehubungan itu, Mohd. Noor berkata, kerjasama UMNO, Bersatu dan Pas perlu dibentuk semula dengan prinsip yang tegas dan jelas serta dengan pembahagian-pembahagian adil.

Beliau menjelaskan, UMNO tidak boleh lagi berasakan struktur politik sebelum PRU-14 kerana keadaan berubah.

Katanya, sekiranya UMNO masih beranggapan bahawa dia parti ‘abang besar’ yang menguasai sebagaimana sebelum PRU-14, andaian itu tidak tepat dan perlu diteliti bersama-sama para perwakilan UMNO yang akan bersidang esok dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 dengan membuat keputusan tepat demi kepentingan Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Malah, beliau berkata, risiko terlalu besar jika UMNO menolak kerjasama politik apatah lagi jika wujud pertandingan tiga penjuru.

“Para perwakilan harus menolak bahawa UMNO bersendirian tidak bersama PN, tetapi perlu bersama-sama membina wadah perjuangan sama, prinsip sama, bukan untuk kepentingan UMNO, Pas atau Bersatu, tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat Melayu Islam khususnya tanpa mengenepikan kepentingan orang-orang bukan Melayu.

“Ini kerana dengan kerjasama tiga parti utama itu dan tidak mengetepikan kepentingan Melayu dan parti-parti bukan Melayu, maka kita akan berada dalam darjah kestabilan. Sekiranya parti politik tidak boleh membentuk kerjasama, dan saya berpesan kepada pengundi, undilah satu parti yang boleh membawa kepada kestabilan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×