Pentadbiran kerajaan Perak lancar walau UMNO, Bersatu tak sehaluan - Utusan Malaysia

Pentadbiran kerajaan Perak lancar walau UMNO, Bersatu tak sehaluan

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar walaupun UMNO sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerjasama Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan Bersatu serta komponen Perikatan Nasional (PN) lain diteruskan seperti biasa sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dibubarkan.

Menurut beliau, kerjasama itu perlu diteruskan bagi mengelakkan keadaan menjadi huru-hara, sehingga menyukarkan pentadbiran negeri.

“UMNO Perak sekarang tidak ada masalah, kita seperti sekarang dan selagi tidak bubar DUN, pentadbiran seperti biasa tiada pecat-memecat atau bertengkar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jeti Sungai Pinang Kecil di Pulau Pangkor di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mengesahkan parti itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lalu, menepati laporan media termasuk akhbar ini sebelum ini.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan termasuk anggota Exco bersifat profesional dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita adalah profesional, dalam mesyuarat Exco, kita masih boleh beri pendapat, pandangan dan boleh bergurau lagi, aman damai,” katanya.

Ditanya kenapa Umno mengambil keputusan begitu, beliau berkata, parti itu hanya mahu menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang jujur dan ikhlas untuk bersahabat, bukannya bersifat ‘telunjuk lurus, kelingking berkait.’

“Kita bukan tak nak penyatuan tetapi ia mestilah berasaskan kepada keikhlasan, (sebagai contoh) antara Pas dan UMNO masa Muafakat Nasional (PN) dibuktikan keikhlasan di mana kerusi UMNO bertanding Pas tak bertanding, di mana Pas bertanding, UMNO sokong Pas.

“Buktinya dan persefahamannya UMNO dan Pas saling tak bertemu. Pas tak tubuh cawangan untuk curi orang UMNO dan UMNO tak tubuh cawangan untuk curi orang Pas,” jelasnya.

Saarani mendakwa, Bersatu sebaliknya seperti di Parlimen Larut, parti itu ‘mencuri’ ahli UMNO, justeru tidak ada keikhlasan dalam hubungan antara kedua-dua parti.

“Adakah dengan berlakunya penarikan diri kerana UMNO tak mahu perpaduan?Salah! UMNO nakkan perpaduan, UMNO nak penyatuan tetapi perpaduan dan penyatuan kerjasama antara parti mesti berasaskan keikhlasan, jangan telunjuk lurus kelingking berkait,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya