Pengusaha lori terkesan penguatkuasaan lebih muatan - Utusan Malaysia

Pengusaha lori terkesan penguatkuasaan lebih muatan

NOVAN HING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Pengusaha Lori Johor (JTA) memohon kerjasama daripada pihak berkuasa untuk memahami kesulitan dihadapi pengusaha lori berhubung isu penguatkuasaan membabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Pengerusinya, Novan Hing berkata, penguatkuasaan itu bukan sahaja mengakibatkan pengusaha mengalami masalah kewangan, tetapi, juga berdepan tekanan.

Jelasnya, hal itu kerana pengusaha lori turut perlu memenuhi kehendak pelanggan berhubung muatan yang dibawa.

“JTA prihatin terhadap isu pengusaha dan pengendali syarikat lori yang mengalami masalah kewangan teruk dan tekanan psikologi kerana kesalahan membawa muatan berlebihan dalam keadaan ekonomi baru-baru ini.

“Kami percaya sebab utama perkara ini berlaku adalah disebabkan kehendak atau jangkaan pelanggan berhubung perkhidmatan pengangkutan yang tidak menepati arahan undang-undang pihak berkuasa yang mengawal muatan lori.

“Ini merupakan isu yang telah berlaku sejak berdekad lamanya,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengikut penguatkuasaan sedia ada, semua pengendali lori berlesen (atau syarikat) tertakluk kepada Akta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dan peruntukan di bawah seksyen 57 dan 58 yang menetapkan bahawa hukuman kerana melanggar berat (muatan) akan didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara 2 tahun, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu Novan berkata, JTA mewakili pengendali dan syarikat untuk menyampaikan kesulitan dan meminta persefahaman serta kerjasama semua pihak berkepentingan yang terlibat agar dapat menangani permasalahan dihadapi ini.

“Difahamkan, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenakan penalti tinggi atas kesalahan itu dan baru baru ini, mahkamah juga telah menjatuhkan pesalah dengan denda sehingga RM20,000.

“Sehubungan itu JTA ketika ini sedang mengumpul borang persetujuan daripada operator dan pengusaha lori untuk sama-sama memberi komitmen dalam memperbaiki situasi ini,” jelasnya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN