KUANTAN: Isu penggunaan kalimah Allah sebenarnya turut menjadi polemik dan pertikaian dalam kalangan penganut Kristian itu sendiri yang menyifatkan ia adalah hak eksklusif umat Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Dr. Muhamad Fadlly Ismail berkata, bukti penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Bible turut mengundang bantahan daripada sebahagian sarjana dalam ajaran Kristian sendiri.
Antaranya beliau berkata, seorang penganut Kristian Koptik di Mesir, Izzat Andrews yang menulis sebuah artikel berbahasa Arab berjudul “Allah Bukan Tuhan Agama Kristian dan Yahudi”.
“Beliau mengatakan kalimah “Allah” hanya berasal daripada penggunaan orang jahiliah yang merujuk kepada Tuhan Bulan. Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab Yahudi mahupun Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim.
“Begitu juga pendapat Rob Phillips iaitu Pengarah Komunikasi Missouri Baptist Convention dan mubaligh Gereja Baptis melalui artikelnya bertajuk “Yahweh (the God of the Bible) vs Allah (the God of the Koran)” menyatakan bahawa Allah bukanlah Tuhan yang dinyatakan dalam Al-Kitab.
“Sarjana Kristian, Jahja Iskandar seorang paderi dari Indonesia menyatakan dalam bukunya “Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular” adalah kerana kalimah Allah adalah khas untuk umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Rabu lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan empat kalimah iaitu Allah, solat, Baitullah dan kaabah digunakan dalam pembelajaran dan penerbitan agama Kristian setelah kes itu mula difailkan pada 2008 lalu.
Dr. Muhamad Fadlly berkata, menyentuh aspek realiti semasa di Malaysia secara lebih mendalam, isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini akan memberi kesan jangka panjang jika tiada tindakan larangan oleh pihak berkuasa atas dasar penjagaan kemaslahatan umat (al-Siyasah al-Syar’iyyah).
Jelasnya, kalimah Allah ‘Lafz al-Jalalah’ adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan agama bukan Islam dalam konteks semasa di negara ini.
“Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat satu hingga empat yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya.”
“Ayat ini memberi penegasan Allah tentang wahdaniyyah dan keesaan-Nya yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam dan juga penegasan bahawa apa sahaja yang ada di dunia ini tidak serupa dengan Allah dan penolakan fahaman menyeleweng serta penyucian daripada keserupaan dengan makhluk,” katanya.
Beliau berkata, membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah itu semata-mata untuk menunjukkan Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar pada agama dan umat Islam pada jangka masa panjang.
Oleh itu katanya, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.- UTUSAN ONLINE










