Pengantin teruja urus majlis persandingan - Utusan Malaysia

Pengantin teruja urus majlis persandingan

SAIFUL ZAMAN bersama pasangannya yang dinikahkan semalam dalam majlis sederhana di Ijok, Kuala Selangor, Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kebenaran penganjuran acara rasmi termasuk majlis persandingan dan kenduri oleh kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya pasangan pengantin di sekitar daerah ini.

Bagi pasangan Muhamad Syukri Ali, 29, dan Nur Izreen Syahirah Mohd. Azhar, 27, mereka kini teruja dan sibuk membuat persiapan terakhir menjelang majlis yang berlangsung pada 14 Mac hadapan.

Nur Izreen yang juga eksekutif korporat kewangan berkata, mengikut perancangan awal, majlis persandingan sepatutnya dijadualkan pada 20 Februari lalu namun tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulilah, selepas tertangguh lebih tiga minggu, kami akan mengadakan acara malam berinai dan solat hajat di Tirai Ratu Event Hall, Setia Alam pada Jumaat ini.

“Kemudian majlis akan disusuli dengan majlis persandingan di dewan sebuah pusat beli belah di Subang pada Ahad depan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Setia Impian 8, Setia Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhamad Syukri berkata, pihaknya akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama jumlah kapasiti kehadiran tetamu.

“Kami memperuntukkan kehadiran jemputan iaitu hanya 400 orang bagi dua sesi bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang.

“Jumlah itu juga terhad bagi sebelah ahli keluarga saya yang tidak dapat hadir kerana faktor rentas negeri,” kata penyelia tapak binaan kelahiran Pontian, Johor itu.

Sementara itu, bagi Saiful Zaman Ramli dan pasangannya, Nursyakila Syuhada Samsudin masing-masing berusia 29 tahun berkata, mereka tidak menyangka perancangan untuk mengadakan majlis pernikahan pada bulan ini membolehkan mereka mengadakan kenduri.

Menurut Saiful Zaman, dia dan pasangannya yang dinikahkan semalam memang merancang unuk disatukan pada bulan ini, namun pasrah apabila kerajaan pada awalnya tidak membenarkan sebarang majlis.

“Saya dan isteri telah membatalkan tempahan dewan, tetapi apabila kebenaran diberikan kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis di rumah sahaja.

“Oleh demikian, majlis di rumah isteri diadakan semalam manakala sebelah saya akan diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 3 April hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengasas Tirai Ratu Event Hall,
Rita Hartini Rozali berkata, pihaknya menarik nafas lega dapat memulakan semula operasi perniagaan selepas setahun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini, tempahan kita penuh sehingga April depan meliputi lebih 20 majlis pernikahan dan persandingan selepas pengumuman kerajaan membenarkan operasi industri acara bermula esok.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kebenaran kepada industri acara beroperasi semula bermula esok. Kami akan memastikan SOP ketat sentiasa dilaksanakan bagi setiap majlis yang dianjurkan kepada pelanggan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.