Penduduk Pasir Gudang berpotensi hidap kanser - Utusan Malaysia

Penduduk Pasir Gudang berpotensi hidap kanser

SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Para penduduk Pasir Gudang berpotensi menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser untuk jangka panjang ekoran pelepasan asap pencemaran kilang yang mengandungi bahan kimia berbahaya.

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, empat gas toksik dikenal pasti iaitu akrolein, akrilonitril, metril merkaptan dan benzena seperti dilaporkan Akademi Sains Malaysia (ASM) adalah bahan kimia paling berbahaya dan kesannya bukan sahaja kepada manusia tetapi hidupan lain.

“Sebarang simptom dialami penduduk Pasir Gudang ketika insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019 seperti loya, muntah, pening malah ada yang pening adalah kesan pelepasan asap beracun bahan kimia.

“Jika setiap hari penduduk menghidu asap beracun, maka boleh memberi kesan untuk tempoh agak panjang daripada segi kesihatan penduduk seperti penyakit kanser, buah pinggang dan radang paru-paru,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas pendedahan Utusan Malaysia berhubung udara Pasir Gudang yang mengandungi bahan kimia beracun akibat pelepasan partikel kimia dan dilepaskan menerusi cerobong-cerobing asap kilang.

Penemuan itu dibuat menerusi hasil kesimpulan ASM sekali gus menolak anggapan semua pihak bahawa insiden Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 disebabkan pencemaran sisa bahan kimia ke dalam sungai itu yang terletak berhampiran Selat Johor.

Dr. Sharifa Ezat berkata, walaupun kesan penyakit belum lagi dapat dikesan pada masa terdekat, namun ia boleh diketahui untuk tempoh jangka panjang atau sekurang-kurangnya dalam lima tahun lagi.

Malah, katanya, pencemaran toksik itu boleh memberi kesan kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan sekali gus mendatangkan mudarat lebih besar untuk manusia.

“Misalnya jika partikel bahan kimia dalam udara beracun itu jatuh ke dalam air dan ia kegunaan penduduk seharian. Secara tidak langsung, sisa toksik lagi mudah terserap masuk ke dalam badan manusia.

“Jika masuk ke dalam badan, lagi cepat kesan kesihatan kepada penduduk sekitarnya,” katanya.

Beliau mengesa kerajaan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meningkatkan penguatkuasaan setiap hari bagi memantau pelepasan asap oleh kilang-kilang di Pasir Gudang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN