Pasangan kembar naik beca bapa ke sekolah - Utusan Malaysia

Pasangan kembar naik beca bapa ke sekolah

CHE KAMARUDDIN menghantar pasangan kembarnya ke SK Sri Bemban dengan menaiki beca pagi ini. -UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasangan kembar, Che Khairah Hani Che Kamaruddin dan Che Khairunisah Hani, 11, tersenyum simpul apabila kemunculan mereka dengan menaiki beca bapa mendapat perhatian orang ramai pagi ini.

Keterujaan dua murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bemban, di sini itu bertemu guru dan rakan jelas terlihat pada raut wajah mereka memandangkan sudah hampir tiga bulan ‘bercuti’ akibat pandemik Covid-19.

Bapa mereka, Che Kamaruddin, 69, berkata, gara-gara tidak sabar mahu ke sekolah hari ini, pasangan kembar anak bongsu daripada sembilan beradik itu bangun dan bersiap lebih awal berbanding kebiasaan.

Katanya, mereka kemudian bertolak dari rumah yang terletak di Kampung Padang Bongor kira-kira pukul 7 pagi.

“Saya berasa lega apabila kerajaan membenarkan sekolah dibuka dengan berperingkat dan hari ini, giliran anak-anak kembar saya pula ke sekolah.

“Mereka memang lebih gemar belajar di sekolah kerana boleh bersemuka dengan guru selain dapat jumpa kawan-kawan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Che Kamaruddin berkata, ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dia tidak dapat membimbing anak-anaknya yang merupakan murid kelas elit atas faktor usia.

“Sudahlah warga emas, ditambah pula kurang ilmu pengetahuan selain terpaksa keluar mengayuh beca seharian demi menyara keluarga. Jadi adalah lebih baik mereka ke sekolah,” katanya.

Che Kamaruddin berkata, dia berdepan masalah untuk menyediakan pakaian seragam anak-anak kerana pendapatan mengayuh beca terjejas dalam tempoh musim Covid-19 ini.

Bagaimanapun katanya, dua hari sebelum sekolah dibuka, seorang hamba Allah memberi sumbangan wang tunai RM200 bagi membolehkan dia membeli pakaian seragam untuk pasangan kembar itu.

“Saya bersyukur anak-anak saya akhirnya dapat ke sekolah dengan berpakaian seragam baharu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya