Pasangan kekasih pencuri diberkas - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih pencuri diberkas

Afzanizar Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang kekasih diberkas polis selepas ahli keluarga membuat laporan mendakwa suspek lelaki telah mencuri wang tunai serta barang kemas milik kakak dan bapanya, semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumah keluarganya di Rumah Awam, Bukit Lintang kira-kira pukul 2 petang, manakala kekasihnya, 44, ditangkap dua jam kemudian di Taman Seri Duyong di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tangkapan dilakukan hasil laporan yang dibuat oleh adik kandung suspek lelaki, semalam.

“Menurut laporan dibuat, kejadian itu bagaimanapun telah disedari ahli keluarganya pada Rabu minggu lalu apabila terdapat kesan potong pada ibu kunci yang dipasang di laci simpanan wang dan emas di ruang makan.

“Bapa pengadu yang curiga dengan kesan tersebut telah membuat pemeriksaan dan mendapati barang diletakkan di dalam laci tersebut telah hilang serta beberapa buah laci berkunci juga dipecahkan,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pengadu yang mengesyaki perbuatan itu dilakukan abangnya telah menghubungi suspek sebelum lelaki itu mengakui telah mengambilnya untuk membayar hutangnya.

“Suspek didakwa telah melarikan wang tunai berjumlah RM6,000 dan 15 unit barang kemas milik bapa dan kakaknya termasuk subang, gelang, rantai leher ,cincin dan gelang kaki.

“Pengadu juga mendapati kad kredit Hong Leong Bank miliknya telah hilang dan suspek mengakui memberikan kad tersebut kepada kawannya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, hasil pemeriksaan di rumah teman wanita suspek turut menjumpai empat resit invois kedai emas, empat resit pembayaran kad kredit, empat bentuk cincin emas dan dua buah loket.

“Kita juga menemukan dua utas rantai leher, sekeping kad kredit Hong Leong Bank dan sebuah pemotong dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 9 Mac, manakala teman wanitanya direman sehari,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dengan niat mencuri. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya