Pas Perak lapor polis hantaran fitnah dalam Harakatdaily - Utusan Malaysia

Pas Perak lapor polis hantaran fitnah dalam Harakatdaily

TANGKAP layar dalam portal Harakatdaily yang memuat naik hantaran Pas Perak arah ahli mendoakan agar ADUN Tronoh dibebaskan daripada tuduhan kes rogol. - UTUSAN/GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas Perak membuat laporan polis terhadap sebuah portal, Harakatdaily HD kerana memuat naik hantaran fitnah kononnya parti itu meminta ahli Pas mendoakan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong dibebaskan daripada tuduhan merogol pembantu rumah.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, hantaran berkenaan adalah palsu, fitnah dan berniat jahat kononnya beliau mengeluarkan arahan sedemikian.

Menurutnya, hantaran berkenaan mungkin bertujuan untuk menjatuhkan imej beliau dan memberikan gambaran kepada umum bahawa Pas mahu membela perkara yang salah.

“Saya membuat laporan polis hari ini agar tindakan dapat diambil terhadap Harakatdaily yang membuat hantaran palsu, fitnah dan berniat jahat.

“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk melihat perkara ini untuk dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Sementara itu, Pemuda Pas Perak turut menafikan hantaran dalam  Harakatdaily itu yang mula dimuat naik di portal berkenaan sejak tengah hari semalam dan tular dalam media sosial.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Hafez Sabri berkata, Pas Perak tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli agar berbuat demikian.

“Pas Perak turut mengecam tindakan Harakatdaily yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan identiti seakan-akan portal Harakahdaily.

“Portal berkenaan telah banyak mengeluarkan propaganda murahan serta kenyataan-kenyataan fitnah terhadap Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pendirian Pas Perak adalah jelas iaitu tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah. 

“Bagi Pas Perak, mahkamah berhak untuk mengadili mana-mana individu secara bebas dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Pas Perak berharap pihak polis mengambil tindakan bagi menutup pintu fitnah yang sedang dimainkan,” katanya. 

Portal berkenaan memuat naik hantaran ‘Pas Perak arah ahlinya bermunajat bagi mendoakan agar ADUN Tronoh dibebaskan daripada kes rogol amah’.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Mac hingga 9 April ini untuk memulakan perbicaraan kes beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya