NAFAS jadi pembekal benih padi - Utusan Malaysia

NAFAS jadi pembekal benih padi

CHE ABDULLAH Mat Nawi memeriksa sayur di kebun bandar yang terletak di dalam kawasan pejabat CAP di Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN/MUHAMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberi tanggungjawab sepenuhnya sebagai pemborong tunggal bagi membuat pembekalan terus benih padi kepada pesawah mulai musim penanaman bulan ini.

Timbalan Menteri Pertanian II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pesawah mendapat bekalan benih padi yang berkualiti serta menyelesaikan isu harga benih padi yang didakwa dimonopoli pihak tertentu.

“Masalah berkaitan benih padi ini berterusan sejak dahulu dan kita kini dalam langkah terakhir untuk menyelesaikannya.

“Kita telah berikan amanah sepenuhnya kepada NAFAS membekalkan benih padi kepada pesawah mulai musim ini (Mac),” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kebun bandar di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada pesawah mengenai masalah benih padi yang tidak berkualiti serta dijual pada harga tinggi oleh pengeluar padi.

Selain itu, pesawah juga mendakwa berlaku monopoli benih padi daripada pengeluar tertentu menyebabkan harga benih padi tidak dapat dikawal.

Menurut Che Abdullah, pihaknya yakin NAFAS mampu membekalkan benih padi yang berkualiti serta pada kadar yang ditetapkan kerajaan.

“NAFAS tidak ada kepentingan perniagaan dan juga entiti berkaitan dengan agensi kerajaan, jadi mereka akan dapat laksanakan tugas sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, permohonan bagi Projek Kebuniti di bawah Penjana Pertanian Bandar mendapat sambutan menggalakkan yang mana jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 42,370.

“Peruntukan Penjana sebanyak RM7.32 juta yang telah dibelanjakan bagi tahun lalu telah memberi manfaat kepada 13,524 orang dan 632 komuniti.

“Bagi fasa kedua tahun ini, Jabatan Pertanian memperuntukkan RM21.18 juta untuk projek ini yang memberikan manfaat kepada 27,524 individu dan 1,046 komuniti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN