ALOR SETAR: Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang juga bekas wakil rakyat negeri itu, Datuk Mohd Jamil Md. Idross ditemukan lemas dipercayai selepas terjatuh ke Sungai Teluk Bagan, di sini, pagi ini.
Mohd. Jamil, 78, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur selama dua penggal iaitu pada 1995 hingga 1999 dan 2004 hingga 2008.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa dijumpai kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai terjatuh iaitu tempat selipar miliknya dijumpai.
Katanya, rutin harian mangsa adalah mengubah kenderaan di dalam kawasan rumah ke kawasan luar rumah yang berhampiran sungai.
“Sebuah Perodua Kancil berwarna putih dipercayai telah diubah oleh mangsa berhampiran sungai di lokasi kejadian. Turut dijumpai sepasang selipar disahkan milik mangsa juga di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana mangsa boleh terjatuh ke dalam sungai masih dijalankan. Keluarga mangsa mengesahkan mangsa tidak mengalami kemurungan atau sejarah psikiatri,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Syed Basri, mangsa baru keluar dari hospital sebulan lalu dan mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi selain turut menerima rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Ujarnya, mangsa tinggal bersama isteri dan dua anak perempuan mereka yang berumur 29 dan 27 tahun.
“Pihak keluarga memaklumkan kali terakhir melihat mangsa kira-kira 11.30 malam tadi dan mereka menyedari ketiadaannya kira-kira pukul 5 pagi ini sebelum mangsa ditemukan anggota bomba pada pukul 8.10 pagi,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.-UTUSAN










