Muda beri ROS tempoh tujuh hari - Utusan Malaysia

Muda beri ROS tempoh tujuh hari

LIM Wei Jiet (tengah) menunjukkan surat tuntutan rayuan Muda berkenaan keputusan ROS menolak pendaftaran parti itu di perkarangan Kompleks Kerajaan Parcel D di Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi masa tujuh hari kepada kerajaan meluluskan rayuan penubuhan parti itu atau berdepan tindakan mahkamah.

Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet memberi amaran itu melalui surat tuntutan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kami berasa pelik kenapa pihak RoS mengambil masa yang terlalu lama hampir 50 hari bagi proses surat rayuan Muda walaupun kami sudah beri kerjasama,” katanya dalam nada kesal.

Beliau yang juga peguam parti itu berkata demikian kepada media di pintu pagar Kompleks D, Presint 1, di sini hari ini sebelum menyerahkan surat tersebut kepada dua pihak berkenaan.

Permohonan rasmi penubuhan parti diasaskan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu diserah kepada RoS di ibu pejabatnya di sini pada 17 September lalu.

Namun, permohonan itu ditolak atas alasan ada tiga ahli jawatankuasa penaja Muda memiliki masalah dan kemudian segera diganti individu lain menerusi rayuan difailkan pada 4 Februari.

Mengulas lanjut, Wei Jiet berkata, kelewatan proses kelulusan rayuan itu amat menggusarkan dan lebih pelik apabila ada tapisan keselamatan walaupun latar belakang mereka tiada isu.

“Kami bukan pun penjenayah atau pengganas, malah rekod semua ahli jawatankuasa penaja Muda bersih daripada sebarang kes mahkamah, muflis dan sebagainya,” tegas beliau lagi.

Justeru beliau memberi amaran, pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang jika RoS dan Hamzah masih enggan meluluskan rayuan penubuhan parti pembangkang berkenaan.

Beliau bahkan turut mendakwa prosedur kononnya tapisan keselamatan itu tiada pun dalam kriteria selama ini termasuk di bawah mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan 1966 sendiri.

Sambil mempersoalkan saringan itu sebagai aneh, Wei Jiet menyifatkan ia cuma alasan RoS sengaja bertindak melengah-lengahkan proses rayuan Muda agar parti itu tidak didaftarkan.

Ketika ini, Muda sudah mempunyai 13 ahli jawatankuasa penaja setelah tiga individu ditolak hanya kerana alamat pada kad pengenalan mereka tidak sepadan tempat bekerja sekarang.

“Salah seorang daripadanya menggunakan alamat di Kedah dalam kad kad pengenalan tetapi bertugas di Kuala Lumpur, dan kami pun sudah tukar kepada individu lain pula,” jelas beliau.

Bagaimanapun ujarnya, RoS berdalih dengan mendakwa konon masih dalam tapisan padahal jika ditolak, permohonan itu akan diserah kepada menteri untuk proses rayuan berikutnya.

Sebelum ini, RoS pada 6 Januari lalu menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai badan politik sah.

Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu hanya memberikan sebab pendaftaran parti baharu tersebut telah dibuat secara tidak teratur sebagai alasan penolakan permohonannya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya