Lelaki OKU buka perniagaan gunting rambut - Utusan Malaysia

Lelaki OKU buka perniagaan gunting rambut

PEMUDA orang kurang upaya (OKU) Farid Aidil Mat Din menggunting rambut pelanggannya di rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan dekat Parit ketika ditemui hari ini. -UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Tidak boleh mendengar dan bertutur sejak dilahirkan, seorang lelaki membuktikan kekurangan itu bukan halangan untuk dia berdikari apabila kemahirannya menggunting rambut dijadikan sumber pendapatan.

Farid Aidil Mat Din, 28, mengusahakan kedai menggunting rambut di rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan dekat sini sejak tahun 2017 dan perniagannya itu semakin mendapat sambutan.

Apa yang menarik, disebabkan kekurangannya itu, dia berinteraksi dengan pelanggan menggunakan bahasa isyarat.

Menurut bapanya, Mat Din Mat Piah, 68, Farid Aidil merupakan anak kelima daripada tujuh beradik mempunyai keistimewaan kerana mahir dalam beberapa perkara seperti menjahit, melukis, memperbaiki telefon bimbit dan menggunting rambut.

Namun, minat anaknya itu lebih kepada menggunting rambut dan membuka kedai di rumahnya.

“Perniagannya semakin mendapat sambutan sehingga kadang kala tidak menang tangan melayan pelanggan. Pelanggan memberikan respons yang baik dan berpuas hati dan menghormatinya kerana berdikari walaupun mempunyai kekurangan.

“Untuk berinteraksi, pelanggan menggunakan bahasa isyarat, tiada masalah untuk memberitahu apa bentuk atau fesyen rambut yang mereka mahukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19 baru-baru ini, perniagaan anaknya terjejas kerana kedai gunting rambut antara sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

Namun, anaknya itu tetap kuat semangat dan meneruskan perniagaannya sehinggalah kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

“Sekarang, tidak menang tangan dia hendak melayan pelanggan, ada saja yang datang pelbagai peringkat usia malah kadang kala anak saya bekerja sehingga ke malam,” katanya.

Katanya, perniagaannya juga mendapat sokongan daripada pemimpin setempat di sini.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini memberikan bantuan kerusi gunting rambut untuk pelanggan duduk semasa menggunting rambut agar lebih selesa, sebelum ini pelanggan duduk atas bangku kayu,” katanya.

Mat Din mendedahkan, anaknya itu tidak berkira dengan pelanggan malah kadang kala tidak mengambil bayaran daripada pelanggan yang berusia tua, dengan niat mahu bersedekah atas khidmatnya itu.

“Anak saya mengharapkan bantuan peralatan menggunting rambut yang lebih baik kerana sekarang dia hanya sebuah mesin gunting saja. Dia berhasrat untuk memiliki sebuah kedai gunting rambut yang selesa untuk para pelanggannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya