Kalimah Allah: Tindakan tegas pihak anjur demonstrasi - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Tindakan tegas pihak anjur demonstrasi

ABDUL Hamid Bador memakaikan sayap juruterbang kepada pelatih pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Kursus' Private Pilot's Licence' di Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara(PLPGU) Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi membantah keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, tiada kompromi untuk penganjur mahupun peserta yang mengugut untuk turun beramai-ramai ke jalanan sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung isu tersebut.

Katanya, semua pihak dinasihatkan agar menghormati keputusan tersebut dan menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan bantahan.

“Saya beri amaran supaya hormati keputusan mahkamah, sekiranya kita tidak menghormati mahkamah maka hancur negara ini.

“Tenangkan diri dan berfikirlah secara waras. Kalau kita mahu mahkamah buat keputusan yang hanya menyebelahi kita, menepati cita rasa kita, itu tidak adil.

“Biarlah mahkamah diberi kebebasan untuk membuat keputusan yang difikirkan tepat mengikut Perlembagaan. Sekiranya masih tidak berpuas hati, ada proses rayuan dan boleh juga bincang di Parlimen, buatlah undang-undang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Mengulas lanjut beliau berkata, PDRM tidak mahu menggunakan kekuatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk tugas mengawal bantahan dalam tempoh Covid-19 kerana mereka sendiri digerakkan untuk sekatan jalan raya (SJR).

“Kita sedang berjuang dengan Covid-19, pasukan FRU pun saya kerah untuk jaga SJR. Saya tidak mahu FRU digunakan untuk kawal demonstrasi. Saya perlukan kekuatan mereka untuk tugasan mengawal Covid-19.

“Jika mereka masih berkeras dan mahu bertindak secara fizikal, saya akan buat laporan polis dan ambil tindakan di bawah akta apa pun termasuk Akta Hasutan,” katanya.

Media semalam melaporkan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Razlan Rafii yang memaklumkan umat Islam sedia turun ke jalanan sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya