Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat tiada kuasa - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat tiada kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penubuhan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat oleh pemimpin parti pembangkang bagi mengumpul petisyen supaya pengisytiharan darurat ditamatkan adalah tidak berdasarkan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad juga tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang berhubung cadangan penamatan proklamasi darurat.

“Walaupun jawatankuasa itu berjaya mengumpul seberapa banyak tandatangan pun tetap tidak boleh mengubah ketetapan yang diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat itu mempunyai autoriti menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, sama ada darurat ini ingin ditamatkan lebih awal berbanding bulan Ogos atau ditamatkan Ogos atau disambung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, di sini, hari ini.

Pada 12 Mac lalu, Khalid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bagi mengumpul petisyen supaya pengisytiharan darurat ditamatkan segera.

Menurutnya, beliau tidak meletakkan angka tandatangan yang bakal dikumpulkan, namun menyasarkan untuk menyerahkan petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum Ramadan.

Sementara itu, Jawankuasa Bebas Darurat itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria pula ditubuhkan selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada Februari lalu.

Jawatankuasa itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Takiyuddin memberitahu, parti pembangkang itu boleh mengenengahkan cadangan mereka mengenai penamatan darurat menerusi wakil mereka dalam jawatankuasa tersebut.

Mengenai Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yang diwartakan Khamis lepas, beliau berkata, ordinan darurat itu membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secepat mungkin bagi menangani berita tidak benar berkaitan Covid-19 serta Proklamasi Darurat.

Jelasnya, sebelum ini, pihak penguat kuasa perlu melalui prosedur biasa yang kadang kala mengambil masa lama untuk menyiasat sesuatu kes berita tidak benar di bawah peruntukkan undang-undang sedia ada.

“Saya dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (Datuk Saifuddin Abdullah), bahawa sebelum ordinan ini dibuat pun hampir 300 kes (berita tidak benar) melibatkan aduan kepada polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah dibuat.

“Oleh kerana undang-undang yang ada ini memerlukan prosedur yang panjang, SKMM kena check siapa pemilik akaun (media sosial) dan sebagainya, jadi kadang kala memerlukan berbulan-bulan, tapi dengan adanya ordinan ini ia akan lebih cepat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya