ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) akan membuat bantahan sekiranya kerajaan negeri menawarkan rumah di dua projek perumahan rakyat (PPR) yang sedang dalam pembinaan kepada warga Myanmar yang tinggal di Bukit Malut, Langkawi.
Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, dua projek perumahan tersebut yang dibina di Kuah dan Hulu Melaka sepatutnya ditawarkan kepada penduduk tempatan di pulau itu.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak sepatutnya menawarkan rumah PPR yang mempunyai sebanyak 1,000 unit bernilai kira-kira RM247 juta itu kepada warga Myanmar berkenaan.
“Saya difahamkan masih ramai dalam kalangan penduduk di Langkawi terutama keluarga berpendapatan rendah masih tidak memiliki rumah sendiri dan mereka sepatutnya diberi keutamaan ditawarkan rumah tersebut, bukannya warga Myanmar berkenaan.
“Tidak adil sekiranya rumah yang dibina khas untuk kemudahan penduduk tempatan diberikan kepada warga asing itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mingguan Malaysia pada 14 Mac lalu melaporkan kerajaan negeri menganggarkan kos memindahkan penduduk warga Myanmar di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi ke penempatan baharu boleh menelan kos sehingga kira-kira RM250 juta.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah itu anggaran kasar kos minimum yang mungkin diperlukan bagi proses pemindahan warga Myanmar yang telah mendapat kerakyatan Malaysia.
Menurut beliau, ketika ini dianggarkan sebanyak 1,400 rumah baharu perlu dibina bagi memindahkan penduduk dari Bukit Malut.
Mohamad Yusrizal menambah, Cake juga berpendapat kerajaan boleh menyediakan rumah baharu untuk warga asing itu tetapi untuk disewa sahaja.
Katanya, langkah tersebut lebih sesuai memandangkan mereka bukan rakyat tempatan dan tidak sepatutnya rumah berkenaan dijual dengan harga yang murah kepada golongan tersebut.
“Pada masa sama, rumah yang dibangunkan kerajaan itu hanya boleh disewa oleh warga Myanmar yang telah mendapat kewarganegaraan Malaysia dan memiliki MyKad,” katanya. – UTUSAN ONLINE










