KANGAR: Kematian seorang juruteknologi makmal perubatan Klinik Kesihatan Kangar pagi semalam adalah disebabkan serangan jantung, bukannya kesan daripada suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada 2 Mac lalu.
Mangsa yang berusia 42 tahun juga mempunyai sejarah serangan jantung dan telah menjalani angioplasty pada 2013.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas kepada isterinya yang juga seorang doktor pakar sebelum mengalami sawan serta tidak sedarkan diri.
Katanya, isteri mangsa telah membuat panggilan kecemasan dan memulakan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR) di rumah.
“Mangsa kemudian telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta menjalani aktif resusitasi tetapi gagal diselamatkan.
“Berdasarkan simptom, tanda klinikal dan presentasi kes, pakar kecemasan mengesahkan kematian itu adalah disebabkan serangan jantung dan tiada kaitan dengan vaksinasi Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas tular dalam media sosial mengenai kematian mangsa yang dikaitkan dengan kesan vaksinasi.
Sirajuddin berkata, mangsa tidak mempunyai sebarang kontraindikasi dan pemerhatian selepas vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) tidak menunjukkan apa-apa kesan sampingan.
“Pada hari pertama selepas suntikan, mangsa hanya mengadu rasa lenguh pada bahagian tangan di tempat suntikan dan gejala pening namun begitu boleh bertugas seperti biasa manakala pada hari kedua selepas suntikan, tiada sebarang masalah dihadapi dan telah melaksanakan tugasan harian seperti biasa sehingga 19 Mac lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya menyeru orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak tepat dan sahih bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat terhadap vaksin Covid-19.










