KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah menjalankan siasatan teknikal terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir yang menyebabkan runtuhan tembok penahan berhampiran Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, JKR juga perlu menilai tahap integriti struktur di kawasan terbabit dan mencadangkan langkah mitigasi tambahan tanpa sebarang kompromi.
“Mana-mana kelemahan dari sudut pelaksanaan, penyeliaan, pematuhan teknikal atau pengurusan tapak mesti dikenal pasti dan ditangani segera.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan keselamatan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander Nanta berkata, beberapa tindakan segera telah diambil di lokasi kejadian termasuk kerja pembersihan kawasan insiden serta pembukaan papan dendeng di sepanjang Jalan Abang Haji Openg.
“Antara langkah lain yang dilaksanakan ialah pemasangan penghadang konkrit bersama geotekstil sepanjang kira-kira 200 meter selain kerja penyahenapan dan baik pulih sistem Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimentasi (ESCP) di tapak pembinaan.
“Langkah-langkah ini penting untuk menstabilkan keadaan semasa dan mengurangkan risiko susulan,” katanya.
Semalam, tembok penahan sedia ada berhampiran tapak projek Menyiapkan Baki Kerja Pembangunan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur – Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, TTDI runtuh susulan hujan lebat.
Berdasarkan laporan awal, beliau berkata, kejadian berlaku susulan hujan lebat antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek.
Katanya, pemerhatian awal menunjukkan kapasiti air dari kawasan bukit telah menyebabkan ban tanah pecah dan mengalir ke silt trap 1 (perangkap kelodak).
“Dalam masa sama, sistem saliran awam di bahagian hilir didapati tidak dapat menampung aliran berkenaan dengan berkesan termasuk wujud halangan utiliti di bahagian tertentu.
“Keadaan itu menyebabkan air bertakung, melimpah ke jalan awam dan memberi tekanan kepada tembok penahan sedia ada hingga mengakibatkan sebahagiannya runtuh bersama papan dendeng,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander Nanta meminta setiap pihak yang terlibat dalam projek berkenaan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan mematuhi semua arahan teknikal yang dikeluarkan. – UTUSAN










