Bila sampai pilihan raya, baru kita cakap - Sulaiman - Utusan Malaysia

Bila sampai pilihan raya, baru kita cakap – Sulaiman

SULAIMAN Md. Ali (dua dari kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee (kanan) menyampaikan risalah kepada peniaga pada program lawatan ke pasar tani di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kesinambungan kerjasama di antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya dalam mengekalkan kuasa di negeri ini hanya akan dibincangkan apabila tiba waktu pilihan raya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, setakat ini barisan kepemimpinan kerajaan negeri akan menjalankan tugas seperti biasa sebagaimana yang telah diamanahkan.

Beliau berkata, sebarang keputusan atau pendirian berkaitan hala tuju parti diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi untuk diputuskan.

“Saya fokus kepada kerja-kerja yang telah diamanahkan kepada saya, Itu terserah kepada pimpinan yang atas-atas.

“Bila sampai waktu esok pilihan raya, baru kita cakap pasal pilihan raya. Bukan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Tani Masjid Tanah di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian rasmi Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang telah memutuskan tiada sebarang kerjasama di antara parti itu dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terbaharu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, keputusan parti untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu tidak dipengaruhi mana-mana individu, sebaliknya keputusan akar umbi termasuk daripada bahagian-bahagian.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut menggesa rakyat Melaka menyegerakan pendaftaran imunisasi vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Ujarnya, kelancaran proses vaksinasi amat penting untuk memulihkan semula sektor pelancongan negeri yang mana kini terjejas sekitar 70 peratus akibat larangan rentas negeri dan daerah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya menggalakkan berdaftarlah dengan MySejahtera kerana difahamkan setakat kini hanya tujuh peratus sahaja yang sudah mendaftar di seluruh negara.

“Ini situasi yang agak membimbangkan, jadi daftarlah supaya memudahkan kerajaan untuk mengenal pasti mereka yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya