Bersatu sangsi percanggahan sokongan UMNO negeri, komponen BN - Utusan Malaysia

Bersatu sangsi percanggahan sokongan UMNO negeri, komponen BN

ROSOL Wahid (kiri) dan Alexander Nanta Linggi (dua, kanan) selepas perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Payang 2 di Kuala Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghormati keputusan UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun timbul kesangsian adakah keputusan berkenaan dibuat secara bersama atau diputuskan individu tertentu sahaja.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia berikutan sokongan UMNO Perlis terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sekali gus bercanggah dengan pendirian UMNO, malah tindakan sama turut dinyatakan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA.

“Saya pelik apabila UMNO Perlis di samping parti komponen BN tidak setuju dengan tindakan memutuskan kerjasama dengan Bersatu kerana mereka tahu kerajaan PN hari ini boleh memerintah dengan baik.

“Jadi timbul persoalan adakah keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu dibuat secara bersama atau cuma individu, jawapannya hanya Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) parti itu sahaja yang tahu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan demikian kepada pemberita selepas perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Payang 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Rosol diminta mengulas tindakan UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu menerusi surat rasmi yang dihantar pada 26 Februari lalu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Rosol mengingatkan UMNO agar tidak berterusan bersikap `kluk klek’ (sentiasa berubah-ubah) jika parti itu komited untuk meneguhkan perpaduan ummah khususnya Melayu-Islam.

“Saya nampak UMNO sudah caca-marba tidak tahu hala tuju, mahu bercerai dengan Bersatu tetapi takut melafazkan talak.

“Di pihak Bersatu, nawaitu kita adalah perpaduan dan kesepakatan ummah, jika UMNO mahu sebaliknya, terpulang kerana kita tidak boleh memujuk mereka, tetapi kita berdoa parti itu bertukar fikiran dan diberikan taufik hidayah untuk berfikir semula,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, keutamaan gabungan berkenaan adalah pada isu-isu rakyat termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan dan bukan hal-hal politik yang tidak menguntungkan.

Katanya, terlalu banyak berpolitik tidak baik untuk negara, justeru terpulang kepada UMNO sama ada mahu terus bersama PN atau sebaliknya.

“Kami mahukan kerajaan Pusat yang stabil dan diuruskan dengan baik dan tumpuan kita kepada rakyat dan kemajuan negara termasuk dalam isu seperti Covid-19 kerana terlalu banyak berpolitik pun tidak baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya