Belum ramai usahawan mohon Spin - Utusan Malaysia

Belum ramai usahawan mohon Spin

NAJWA Halimah Ab. Alim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ing@Taibah Abdullah yang merupakan pemandu teksi yang berkerusi roda sempena Majlis Program Prihatin Bersama Pemandu Teksi di Terminal Feri Puteri Harbour, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Masih ramai usahawan mikro belum memohon Skim Pembiayaan Informal (Spin) yang diperkenal bulan lalu di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional dengan kelulusan mudah sehingga RM5,000.

Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Najwa Halimah Ab. Alim berkata, jumlah usahawan kecil yang memohon Spin masih rendah bagi mencapai sasaran untuk membiayai 10,000 peniaga tidak formal.

Katanya, dengan peruntukan RM50 juta, inisiatif Spin yang ditawarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bertujuan membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Usahawan kecil seperti peniaga pasar malam, usahawan beroperasi dari rumah dan pemandu teksi adalah antara yang layak memohon Spin dengan syarat yang minima. Skim ini bertujuan untuk membantu golongan usahawan kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk terus beroperasi.

“Siapa tahu dengan bermodalkan pinjaman sehingga RM5,000 ini, usahawan mampu menjana pendapatan hingga mencecah 10 kali ganda daripada jumlah yang dipohon,” katanya dalam Program Prihatin Bersama Pemandu Teksi di Terminal Feri Puteri Habour di sini hari ini.

Jelas Najwa, kerajaan melonggarkan syarat pinjaman skim berkenaan bagi menyokong usahawan sebaik mungkin yang bertujuan menyantuni usahawan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Buat usahawan yang berminat memohon skim berkenaan, mereka perlu ada tanggungjawab dan gunakan pinjaman itu untuk berniaga bagi menambah pendapatan,” ujarnya. 

Sementara itu, Tekun Nasional juga akan melancarkan skim pembiayaan Tekun Mobilepreneur 4.0 bagi membantu mereka yang berminat untuk menjadi penghantar makanan (rider) pada minggu depan. 

Menurut Najwa, Tekun Mobilepreneur 4.0 itu menyediakan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 kepada rider bagi tujuan pembelian motosikal baharu dan modal pusingan.

“Pembiayaan ini khas untuk membeli motosikal bagi mereka yang berminat untuk menjana pendapatan bersama pengendali aplikasi penghantaran makanan seperti Ode Jee, FoodPanda, Grab dan lain-lain.

“Syaratnya juga mudah iaitu permohonan hanya memerlukan surat daripada pengendali aplikasi penghantaran makanan, lesen motosikal dan penyata akaun bank,” katanya.

Katanya, matlamat utama bagi skim pembiayaan itu adalah untuk menjadi pemudah cara buat mereka yang ingin memulakan hidup baharu dan bekerja sendiri dalam bidang yang mendapat permintaan tinggi ketika pandemik ini.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya