Batalion 3 PGA ziarah veteran Senoi Praaq - Utusan Malaysia

Batalion 3 PGA ziarah veteran Senoi Praaq

PEGAWAI Pemerintah Batalion 3 PGA Senoi Praaq Kem Bidor, Superintenden Rosman Kasman (depan, kiri) menziarahi veteran Senoi Praaq, Sarjan Mejar Ana (tengah) bersama warga PGA Senoi Praaq di kediaman veteran itu pada program ziarah sempena Hari Polis ke-214 di Gerik baru-baru ini. -UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seramai 15 orang veteran Senoi Praaq di negeri ini menerima kunjungan warga Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq Kem Bidor di sini sempena Peringatan Hari Polis ke-214 baru-baru ini.

Rata-rata mereka yang berusia antara 61 hingga 85 tahun ini merupakan generasi awal pasukan tersebut yang ketika itu dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH) serta terlibat dalam operasi memerangi pengganas komunis.

Antaranya ialah Sarjan Mejar Ana Alang, 73, salah seorang pakar dalam ilmu penjejakan hutan yang kini tinggal bersama keluarganya di Pos Kemar, Gerik, Perak.

Veteran berkenaan pernah terlibat dalam pertempuran dengan komunis bersama mendiang Inspektor Gunasegaran Naidu dan mendiang Sarjan Long Pandak pada tahun 1981 di Ulu Kelantan.

Kedua-dua mendiang yang terkorban itu dianugerahi Pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

Keadaan kesihatan SM Ana kini amat uzur. Beliau yang lumpuh seluruh badan dijaga oleh isterinya.

Turut diziarahi ialah Koperal Alo Bin Itam Tambo di Kg. Bawong, Lasah, Sg. Siput, Perak yang lumpuh akibat terkena jerangkap samar semasa operasi khas menjejak pergerakan pengganas komunis yang dikenali Op Bamboo.

Berdasarkan kepada pertemuan dalam program jejak veteran itu, mereka amat memerlukan perhatian dan sokongan moral bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan sebagai anggota veteran Senoi Praaq yang tidak wajar dilupakan.

Mengetuai ziarah itu ialah Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman bersama isteri, Zuraini Majid selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) batalion tersebut.

Menurut Rosman, program ziarah itu bertujuan menjejak kembali veteran Senoi Praaq yang telah banyak berjasa kepada negara dan pasukan selain menjadi pencetus semangat pada generasi anggota hari ini.

Katanya, mereka yang diziarahi pula adalah dalam kalangan veteran yang mengalami masalah kesakitan termasuk sakit tua.

“Mereka ini adalah guru kepada pegawai-pegawai dan anggota Senoi Praaq yang telah banyak memberikan bimbingan serta tunjuk ajar semasa berkhidmat. Keberanian mereka amat luar biasa.

“Walaupun tidak lagi segagah dahulu tetapi jasa dan pengorbanan mereka sangat besar selain tidak terbalas dengan apa cara sekali pun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setiap veteran yang diziarahi turut menerima sumbangan barang-barang keperluan harian termasuk lampin pakai buang kepada veteran yang mengalami keuzuran.

Ternyata kehadiran warga Batalion 3 PGA Senoi Praaq menyarung beret berwarna maroon yang menjadi identiti pasukan ini menimbulkan perasaan bangga dalam kalangan para veteran.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya